GAZA: Gaza kini berdepan krisis kesihatan dan alam sekitar yang serius, apabila sebahagian kawasan pantai Mediterranean tercemar dengan sisa kumbahan dari kem-kem pelarian berhampiran.
Konflik yang berterusan melumpuhkan infrastruktur pengurusan sisa di Gaza, menyebabkan pencemaran besar-besaran dan peningkatan penyakit bawaan air.
Faktor masalah sistem penjagaan kesihatan, kemudahan sanitasi dan kepadatan penduduk di kem perlindungan, mengheret situasi kemanusiaan di Gaza terus merosot.
Imej satelit yang dianalisis oleh BBC Arabic menunjukkan sebahagian kawasan pantai Mediterranean Gaza mula berubah menjadi coklat kerana pelepasan kumbahan di luar pantai Deir al-Balah.
Beberapa penduduk berhampiran mengadu mengenai air kumbahan yang melimpah, menyebabkan bau busuk dan kehadiran tikus.
Pelepasan kumbahan dalam imej yang dirakam pada 2 Ogos meliputi kawasan seluas lebih dua kilometer persegi.
Imej satelit menunjukkan pelepasan itu mula kelihatan pada Jun dan berkembang secara beransur-ansur selama dua bulan berikutnya.
Pegawai tempatan memberitahu, penduduk Gaza yang dipindahkan di kem-kem berhampiran menghantar kumbahan mereka terus ke laut.
Peningkatan penduduk yang dipindahkan menyebabkan mereka menyambung paip sendiri ke sistem saliran air hujan.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun, pengeboman intensif Israel menyebabkan infrastruktur pengurusan air kumbahan di Gaza runtuh.
PENYAKIT BAWAAN AIR
Pakar kesihatan memberi amaran mengenai penyebaran penyakit bawaan air di wilayah itu, selepas seorang bayi berusia 10 bulan disahkan separa lumpuh akibat polio – kes pertama direkodkan di Gaza dalam tempoh 25 tahun.
Susulan perkembangan itu, PBB dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa gencatan senjata selama dua minggu untuk membolehkan pemberian vaksin kepada 600,000 kanak-kanak Gaza.
Namun, pemerhati menjangkakan penghantaran vaksin mungkin menghadapi halangan sama seperti aliran bantuan kemanusiaan, menyebabkan pengagihannya perlahan dan sukar.
Polio hanyalah sebahagian daripada krisis kesihatan yang dihadapi Gaza.
Awal bulan ini, Agensi PBB untuk Pelarian (UNRWA) melaporkan 40,000 kes Hepatitis A, yang boleh ditularkan melalui air tercemar, di Gaza sejak permulaan perang berbanding hanya 85 dalam tempoh sama sebelum ini.
Pakar kesihatan juga memberi amaran mengenai potensi wabak taun, pneumonia dan penyakit kulit.
Perunding pediatrik, Dr Ahmed al-Farra berkata, faktor campuran air bersih dan kumbahan, kepadatan penduduk, cuaca panas melampau serta perkongsian tandas secara berlebihan mendorong penyebaran penyakit bakteria ini.
Menurut pegawai WHO, satu tandas di tempat perlindungan Gaza terpaksa dikongsi untuk 600 orang.










