KAHERAH: Hamas kelmarin mengesahkan persetujuan terhadap cadangan gencatan senjata selama 60 hari di Gaza yang turut merangkumi pembebasan 10 tebusan hidup, hasil rundingan pengantara Mesir dan Qatar.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak maklum balas itu dan menegaskan rejimnya tetap meneruskan pelan menawan Gaza City serta rancangan memindahkan penduduk ke selatan wilayah berkenaan.
Seorang pegawai Israel mendakwa, pendirian negara itu tidak berubah, dengan menegaskan pembebasan semua tebusan serta pematuhan kepada syarat lain yang ditetapkan bagi menamatkan peperangan.
Netanyahu tidak secara terbuka menolak perjanjian separa yang dibincangkan, namun laporan media Israel menyebut beliau akan meneliti usul itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju rundingan damai serta pengakhiran perang Gaza.
TUNTUTAN ASAL DIKURANGKAN
Seorang diplomat Arab mendedahkan, ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya, pada Ahad menyerahkan cadangan yang dikemas kini kepada Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman al-Thani.
Cadangan itu mengurangkan sebahagian besar tuntutan asal kumpulan pejuang yang sememangnya komited inginkan gencatan senjata kekal dan penamatan perang.
Bagaimanapun, rundingan yang berlangsung selama berbulan-bulan sering disabotaj Israel sehingga menyebabkannya menemui jalan buntu.
Rundingan baru-baru ini berlangsung di Kaherah, bukan hanya melibatkan pengantara Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS), bahkan turut dibantu Turkiye.
Menurut diplomat itu, cadangan yang dipersetujui Hamas pada Isnin melibatkan pembebasan 10 tebusan hidup sebagai pertukaran dengan 150 tahanan keselamatan Palestin sepanjang tempoh gencatan senjata 60 hari.
Perjanjian itu juga merangkumi penyerahan mayat tebusan yang terbunuh.
Sumber dalam Jihad Islam turut mendedahkan butiran sama mengenai cadangan itu, dengan memaklumkan selepas pembebasan 10 tebusan pertama, baki tawanan akan diserahkan pada fasa kedua, di mana rundingan segera menyusul untuk mencapai perjanjian menamatkan perang dan pencerobohan secara kekal melalui jaminan antarabangsa.
Sumber berkata, semua puak menyokong hasil rundingan oleh pengantara, merujuk kepada pelbagai kumpulan pejuang Palestin yang beroperasi di bawah pengawasan Hamas di Gaza.
ISRAEL MERUMITKAN RUNDINGAN
Cadangan itu diterima Israel pada malam Isnin, namun rejim menegaskan tidak lagi berminat dengan perjanjian separa, sebaliknya cuba merumitkan hasil rundingan dengan hanya bersetuju menamatkan perang jika Hamas melepaskan semua tebusan sekali gus, termasuk syarat lain ditetapkan.
Sedangkan, perjanjian yang diterima Hamas adalah 98 peratus sama dengan cadangan yang dikemukakan utusan khas AS, Steve Witkoff, pada awal tahun ini.
Netanyahu mendakwa bertemu dengan barisan tertinggi Angkatan Pertahanan Israel (IDF) pada Isnin bagi membincangkan pengambilalihan Bandar Gaza.
“Kita dapat lihat dengan jelas Hamas berada di bawah tekanan yang amat besar,” kata Netanyahu kepada pegawai kanan di ibu pejabat Divisyen Gaza IDF berhampiran sempadan Re’im.
Sementara rundingan di Kaherah mengenai perjanjian separa antara pengantara Arab dan Hamas semakin berkembang, pemimpin paling zalim era moden itu sengaja menetapkan syarat tidak masuk akal untuk menggagalkan kejayaan rundingan dengan menetapkan pelucutan senjata oleh Hamas serta penyerahan kawalan keselamatan menyeluruh kepada Israel.
Netanyahu juga menuntut supaya pentadbiran baharu di Gaza diserahkan kepada badan selain Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Pengantara Arab berharap retorik dari Israel itu hanya taktik tekanan dan Netanyahu akan berlembut jika Hamas bersetuju menarik balik tuntutan dibuat bulan lalu yang membawa kepada kegagalan rundingan mengenai perjanjian separa.
Ketua Turus IDF, Jeneral Eyal Zamir mendakwa, Israel kini berada di titik perubahan peperangan dan bersedia memasuki fasa seterusnya serangan terhadap Hamas.
Laporan mengenai persetujuan Hamas muncul beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump dalam hantaran media sosial menegaskan tebusan yang ditahan di Gaza hanya akan dibebaskan apabila kumpulan pejuang dihapuskan, sekali gus dilihat ‘lampu hijau’ kepada pelan Israel ke atas Bandar Gaza.
“Jangan lupa, sayalah orang yang berunding dan berjaya membebaskan ratusan tebusan serta membawa pulang ke Israel,” kata Trump, bermegah dengan jumlah pembebasan tawanan dalam perjanjian gencatan senjata pada Januari hingga Mac lalu.










