10 maut, tentera Myanmar serang hospital di Laukkai

10 maut, tentera Myanmar serang hospital di Laukkai

PERIKATAN kumpulan bersenjata etnik minoriti termasuk Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang, memperbaharui serangan terhadap tentera di negeri Shan, utara Myanmar.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Sekurang-kurangnya 10 maut dalam serangan udara tentera Myanmar terhadap sebuah hospital di bandar yang dikawal kumpulan bersenjata etnik minoriti berhampiran sempadan China.

Pesawat tentera melakukan sekurang-kurangnya dua serangan udara di bandar Laukkai, yang biasanya dihuni sekitar 25,000 orang, lewat malam pada 1 Ogos, menurut seorang penduduk yang meminta identitinya dirahsiakan demi keselamatan.

Media tempatan memetik seorang penduduk sebagai berkata, 10 orang awam terbunuh dalam serangan itu.

Negeri Shan di utara Myanmar digemparkan dengan pertempuran sejak akhir Jun apabila gabungan kumpulan bersenjata etnik minoriti memperbaharui serangan terhadap tentera di sepanjang lebuh raya perdagangan utama ke China.

Kumpulan Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) menguasai Laukkai sejak Januari, selepas lebih daripada 2,000 tentera junta menyerah diri dalam salah satu kekalahan terbesar pasukan itu untuk beberapa dekad.

Jurucakap MNDAA, Li Jiawen memberitahu AFP, serangan udara tentera melanda sebuah hospital di Laukkai, tetapi pihaknya masih belum mempunyai maklumat jumlah korban.

Junta mengebom Laukkai beberapa kali kebelakangan ini selepas MNDAA melancarkan semula serangannya di negeri Shan, mematahkan gencatan senjata yang diusahakan oleh Beijing.

Puluhan orang awam terbunuh dan cedera dalam pertempuran baru-baru ini di negeri Shan, menurut junta dan kumpulan penyelamat tempatan.

Kawasan sempadan Myanmar adalah rumah kepada pelbagai kumpulan bersenjata etnik yang memerangi tentera sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948 untuk mendapatkan autonomi dan kawalan terhadap sumber yang menguntungkan.

Beberapa kumpulan memberi perlindungan dan latihan kepada Angkatan Pertahanan Rakyat yang baharu muncul untuk melawan tentera selepas rampasan kuasa pada 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN