10 kawasan di ibu negara berisiko berlaku lubang benam

10 kawasan di ibu negara berisiko berlaku lubang benam

KAWASAN Kampung Baru antara lokasi berisiko lubang benam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 10 kawasan di sekitar ibu negara beri­siko untuk berlakunya kejadian lubang benam yang dibimbangi akan meragut nyawa.

Perkara ini didedahkan melalui kajian dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertajuk Sinkhole Susceptibility Hazard Zones Using GIS and Analytical Hierarchical Process (AHP): A Case Study of Kuala Lumpur and Ampang Jaya.

Kajian yang dijalankan pada 2017 menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Proses Analitik Hierarki (AHP) itu mendedahkan terdapat 10 kawasan yang dikategorikan dengan tiga kategori iaitu risiko rendah, risiko tinggi dan risiko sangat tinggi.

Antara kawasan yang didapati berisiko sangat tinggi adalah Kepong, Kampung Baru, Ampang dan Pandan Jaya, sementara itu kawasan berisiko tinggi pula di Pudu, Cheras serta Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kajian itu turut menamakan kawasan Ampang, Pudu, Kepong dan Kampung Baru sebagai kawasan berisiko rendah.

Mengulas perkembangan itu, Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Nuarrual Hilal Md. Dahlan berkata, perkara tersebut dilihat berlaku disebabkan beberapa kelemahan termasuk dari segi penguatkuasaan dan undang-undang.

Kata beliau, pihak berkuasa negeri dan tanah didapati gagal memperuntukkan tanah berse­suaian untuk pembangunan atas tanah oleh kerana proses kelulusan yang longgar serta maklumat kesesuaian tanah tidak mencukupi.

Jelasnya, pihak berkuasa pe­rancang tempatan dilihat ber­depan isu kawalan pembangunan tanah khususnya dalam perkara kebenaran merancang.

“Pihak berkuasa tempatan juga tidak mematuhi nasihat dan ulasan agensi teknikal ke­rana kekurangan tanggungjawab ber­kanun yang mengenakan tanggungjawab mengguna-pakai ula­san agensi teknikal.

“Saya mendapati bahawa tiada tanggungjawab undang-undang atas pihak berkuasa tanah, pihak berkuasa perancang tempatan dan agensi teknikal untuk menyediakan data besar data, analitik dan pusat data yang terkini mengenai data tanah bagi setiap daerah di Malaysia juga menyumbang kepada kekura­ngan maklumat mengenai ta­nah serta ini mengurangkan ke­berkesanan kelulusan tanah untuk pembangunan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr. Nuarrual berkata, data tanah sedia ada daripada pelbagai sumber masih tidak mencukupi.

Katanya, ia diburukkan lagi apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkuasa perancang tempatan tidak diwajibkan untuk mematuhi data tersebut.

“Kekurangan peruntukan data mandatori untuk tapak pembangunan tanah dan penyeliaan pembangunan tanah, bangunan dan kerja tanah dan siasatan tanah yang tidak mencukupi terhadap kerja pemaju dan kontraktor juga menyumbang kepada masalah ini.

“Peruntukan undang-undang di bawah Akta Parit Jalan dan Bangunan 1974 (Akta 133) memburukkan lagi isu ini, memberi kekebalan kepada pihak berkuasa tempatan daripada liabiliti atas pelanggaran kewajipan dan kecuaian dalam menjalankan tugas berkanun mereka.

“Ini melemahkan tanggungjawab tadbir urus sewajarnya pihak berkuasa tempatan dalam industri bangunan, pembinaan dan pembangunan tanah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat bukti bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menguatkuasakan sepenuhnya peruntukan undang-undang yang berkaitan walaupun ini jelas dinyatakan di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi memastikan ke­selamatan, kemapanan serta penyelenggaran tanah di kawasan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, negara perlu mempertimbangkan untuk menubuhkan Jabatan Pemuliharaan Tanah seperti terdapat di New South Wales, Australia kerana jabatan tersebut akan dapat menyediakan data, maklumat, nasihat pakar dan langkah yang diperlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN