‘Zulfarhan mengaku tidak curi komputer hingga akhir hayat’

‘Zulfarhan mengaku tidak curi komputer hingga akhir hayat’

ZULKARNAIN Idros (bapa Zulfarhan Osman) menangis sejurus selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya mengumumkan keputusan rayuan berkaitan kes kematian anaknya. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menyifatkan Zulfarhan Osman Zulkarnain dibuli secara melam­pau oleh sekumpulan penuntut universiti itu berhubung kehilangan komputer riba milik salah seorang daripada mereka.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, enam bekas penuntut itu memilih Zulfarhan, 21, dan menderanya termasuk menekap alat sulit mangsa dengan seterika wap panas untuk mencungkil maklumat komputer riba Muhammad Akmal Zuhairi Azmal yang dijatuhi hukuman gantung.

Selain Muhammad Akmal turut dihukum gantung, ialah Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Hakim itu berpendirian, terdapat 90 kesan tekapan seterika wap pada 80 peratus bahagian badannya kecuali muka dan belakang tapak tangan manakala 29 kesan lecuran pa­ling serius (darjah ketiga) turut dikesan pada tubuh Zulfarhan.

Beliau berkata, ketera­ngan saksi pendakwaan ke-24 (SP24,) Ahmad Senabil Mohamad menyatakan, tubuh mangsa ditekap secara bergilir-gilir atas arahan perayu keenam, Abdoul Hakeem yang dituduh bersubahat dengan lima yang lain.

Selain itu, kata Hakim Hadhariah, keterangan saksi pendakwaan keenam (SP6), Pakar Patologi Forensik, Hospital Serdang, Dr. Salmah Arshad menyatakan, kesan terbakar yang teruk itu mencukupi untuk meragut nyawa mangsa.

Pada hemat Hakim Hadhariah, keterangan SP24 dan SP25 konsisten dengan keterangan SP6 bahawa tekapan dilakukan oleh perayu pertama hingga kelima secara berulang dalam tempoh sejam selepas mende­ngar hasutan perayu keenam.

“Meskipun selepas dipukul berkali-kali, ditekap dengan seterika, diperas bagi mendapatkan pengakuan berhubung kecurian komputer riba, mangsa sehingga akhir hayatnya tidak mengaku mencuri.

“Perayu pertama marah selepas dimaklumkan salah seorang penuntut bahawa solat hajat yang dilakukan bapa lelaki tersebut menunjukkan komputer yang baru dibeli itu dicuri Zulfarhan,” kata beliau.

Pada hemat Hakim Hadhariah, kecederaan yang dialami oleh mangsa mencukupi bagi membuktikan elemen membunuh dengan niat seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×