Wakil rakyat menang jangan ‘pilih bulu’ agih bantuan

Wakil rakyat menang jangan ‘pilih bulu’ agih bantuan

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berharap wakil rakyat yang terpilih nanti tidak ‘memilih bulu’ ketika memberikan bantuan kepada rakyat.

Rata-rata pengundi berpendapat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik perlu adil tanpa mengira fahaman politik atau latar belakang penerima kerana mereka amat memerlukan bantuan.

Malah. pengundi turut berharap wakil rakyat baharu itu akan kerap turun padang bagi mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat.

Seorang pengundi di DUN Sungai Bakap, Mazlina Mat Hashim, 40, berkata, sebagai pengundi, dia amat berharap wakil rakyat kawasan berkenaan lebih adil dalam menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, sebagai seorang peniaga kecil, dia tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak namun dia tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengundi setiap kali pilihan raya dijalankan.

“Saya berniaga selama 18 tahun, tetapi saya tidak pernah dapat bantuan. Susah senang, jatuh bangun dalam perniagaan saya tanggung sendiri, saya tidak kisah kerana masih mampu bekerja.

“Saya berharap agar wakil rakyat yang mewakili penduduk Sungai Bakap akan dapat membantu rakyat tanpa mengira parti.

“Kadang-kadang bantuan yang diberikan disasarkan kepada pihak tertentu sahaja, kami harap pemimpin berlaku adil kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Buaya, di sini hari ini.

Seorang lagi pengundi, Abdul Razak Ramli, 52, berkata, dia juga berharap pemimpin yang bakal mewakili penduduk tidak ‘pilih bulu’ dalam menyampaikan bantuan kepada penduduk.

“Bantuan mesti diberikan secara adil dan sama rata kepada semua, semua rakyat yang layak perlu diberikan bantuan yang adil.

“Pemimpin kena bantu semua orang, mereka perlu membawa suara rakyat kepada pihak atasan agar masalah rakyat didengari pemimpin,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengundi, Abd Ghani Ismail, 70, turut berharap agar wakil rakyat yang baharu akan lebih kerap turun padang terutamanya di kampung-kampung.

“Sekarang, memang calon-calon akan turun berkempen, jadi mudah untuk bertemu mereka. Jadi, saya harap lepas menang nanti pun mereka akan tetap mudah turun bertemu rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×