KUALA LUMPUR: Usul untuk menggantung ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan akan dibentangkan esok.
Tindakan itu secara spesifik diambil berikutan Wan Ahmad Fayhsal pada 1 Julai lalu telah memaklumkan kepada Dewan Rakyat berhubung sepucuk surat layang yang telah tular dan didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurut aturan mesyuarat disiarkan di laman sesawang Parlimen, usul nombor satu itu akan dibawa menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas sesi pertanyaan lisan.
Menurut usul terbabit, perbuatan itu telah memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu didakwa tetapi juga secara umum pegawai agensi di bawah kementerian yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.
“Dalam perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat siapa-siapa pegawai kerajaan selain kelakuan pada menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan.
“Dakwaan Machang adalah satu perbuatan seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai-pegawai agensi di bawah kementerian yang telah bertungkus lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia,” menurut usul itu.
Jika diluluskan, Wan Fayhsal akan digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan selama enam bulan.











