Tiga lelaki ditahan terlibat curi motosikal - Utusan Malaysia

Tiga lelaki ditahan terlibat curi motosikal

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis menahan tiga lelaki selepas disyaki aktif melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar Wangsa Maju sejak beberapa tahun lalu di Taman Ibu Kota Setapak, di sini, pada 26 Jun lalu.

Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi menerusi Op Roda/Lejang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, dalam serbuan itu, empat motosikal terdiri Yamaha 135LC, sebuah motosikal model Honda serta beberapa komponen motosikal dirampas.

Kata beliau, berdasarkan rampasan itu, pihaknya percaya sebanyak empat kes curi motosikal di daerah ini berjaya ditumpaskan.

“Modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan motosikal yang diletakkan di tempat sunyi dan motosikal tidak berkunci.

“Semakan dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek yang juga penganggur memiliki beberapa rekod atas pelbagai kesalahan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati kesemua suspek terbabit negatif dadah.

Beliau berkata, semua suspek masih direman untuk siasatan lanjut bagi mengesan pembabitan mereka dengan kes curi motosikal di daerah lain.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999, Hotline Polis Wangsa Maju 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×