PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) dalam fasa akhir untuk menambah 40 unit sistem pagar automatik (autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 dalam usaha mengatasi kesesakan di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahan itu juga untuk persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.
Beliau berkata, kedua-dua lapangan terbang berkenaan kini mempunyai sebanyak 40 sistem pagar automatik yang sedang beroperasi.
“Kami telah berunding dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk penambahan autogate (di mana) kita perlu lebih ruang.
“Ketua Setiausaha KDN (Datuk Ruji Ubi) akan uruskan bagi perolehan (sistem pagar automatik), kami mengejar masa kerana tahun depan kita akan ambil alih (sebagai) Pengerusi ASEAN jadi terdapat banyak mesyuarat antarabangsa yang perlu kami uruskan supaya tidak berlaku kekesakan di pintu masuk,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Hari Imigresen 2024 di Dataran Pahlawan Negara, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, bagi menangani isu sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pula, JIM akan menambah bilangan autogate di lapangan terbang berkenaan bagi memudahkan urusan keluar masuk penumpang melalui negeri itu.
“Sebab sekarang ketibaan pesawat antarabangsa juga mendapat liputan media bila kesesakan berlaku,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pelaksanaan kaedah pemeriksaan Imigresen menggunakan Kod QR dan Proof of Concept (POC) bagi aplikasi MyTRIP, MyRENTAS dan MyBorderPas di pintu masuk Malaysia – Singapura bermula 1 Jun lalu mendapat sambutan yang sangat baik.
Menurutnya, ia mendapat sambutan daripada warganegara Malaysia bagi mod perjalanan bas dan motosikal untuk perjalanan keluar masuk ke Singapura.
“Inisiatif ini berjaya mengurangkan tempoh menunggu di antara 70 hingga 80 peratus berbanding sebelum ini,” katanya. – UTUSAN