Syarikat judi berlesen rayu kerjasama kerajaan negeri

Syarikat judi berlesen rayu kerjasama kerajaan negeri

YIP Kok Chyuan (dua dari kiri) dalam sidang akhbar berhubung perkembangan isu perjudian di Alor Setar, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Syarikat nombor ramalan berharap mendapat kerjasama kerajaan negeri Kedah bagi membolehkan premis mereka dibenarkan kembali beroperasi susulan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar, baru-baru ini.

Penolong Pengurus Besar STM Lottery (Utara), Yip Kok Chyuan berkata, penutupan premis itu memberi kesan negatif terhadap pendapatan ejen dan pekerja yang hilang pendapatan sehingga mereka menghadapi tekanan kewangan.

“Kami mengalu-alukan ke­putusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan pelaksana­an kuasa oleh kerajaan negeri harus konsisten dengan kuasa Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Per­lembagaan Persekutuan.

“Sejak kami terpaksa menutup perniagaan 1 Januari 2023, pekerja kami yang kebanyakannya berpendapatan rendah terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk dipindahkan ke cawangan di negeri lain dan mereka menghadapi kesukaran.

“Justeru, kami berharap ke­rajaan negeri akan memudah­kan usaha kami untuk memperbaharui lesen premis per­niagaan bagi pertaruhan berlesen dan membenarkan ejen kami membuka semula premis secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Menurut Kok Chyuan, pi­haknya menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Jun lalu yang memutuskan kerajaan negeri Kedah melarang pembaharuan lesen premis judi berlesen adalah tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Namun katanya, mereka akan menunggu keputusan rayuan yang dikemukakan kerajaan negeri di Mahkamah Rayuan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Terdahulu, Mahkamah Ting­gi Alor Setar dilapor membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Ekoran itu, kerajaan nege­ri memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam Sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) 14 November 2021 mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan jualan arak.

Penutupan operasi premis perjudian dan loteri di Kedah dimulakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2023 apabila kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian selepas tarikh itu.

Dalam perkembangan terbaharu itu, Pas Kedah mempertahankan tindakan kerajaan ne­ge­ri yang menutup sepenuhnya semua premis dan kedai perjudian di negeri itu dan mendakwa penutupan dibuat mengikut bidang kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya kesal dengan tindakan syarikat perjudian yang hanya memikirkan keuntungan sendiri sehingga mengetepikan kesan ketagihan judi yang me­rosakkan keharmonian dan keutuhan bermasyarakat.

“Alasan yang dikemukakan syarikat judi tersebut bahawa tindakan menghapuskan akti­viti perjudian itu tidak mempertimbang kepelbagaian ka­um di negeri ini sebenarnya je­las tersasar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN