WASHINGTON: Sekumpulan sukarelawan melibatkan 45 pakar perubatan dan jururawat Amerika Syarikat (AS) menuntut pentadbiran Washington mengenakan embargo senjata bagi menghentikan konflik di Gaza.
Dalam satu surat terbuka yang dihantar kepada Presiden AS, Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris, kumpulan sukarelawan perubatan ini turut berkongsi pengalaman mereka berkhidmat di hospital Gaza.
Kumpulan itu berkata, setiap hari pasukan perubatan terpaksa melihat kanak-kanak dan remaja dibawa ke hospital dalam keadaan ditembak di kepala dan dada.
“Kami berharap anda dapat melihat mimpi ngeri yang menghantui kami sejak kembali ke negara ini, mimpi kanak-kanak cacat dan dicacatkan oleh rawatan kami serta ibu yang merayu untuk anak mereka diselamatkan.
“Kami berharap anda dapat mendengar tangisan dan jeritan yang tidak dapat kami lupakan,” tulis surat yang disiarkan di platform X oleh Dr Feroze Sidwa, yang menerajui penulisan itu dengan doktor lain.
Katanya, ramai dalam kumpulan itu mempunyai latar belakang kesihatan awam dan pengalaman menjadi sukarelawan di zon konflik lain seperti Ukraine dan Iraq.
“Kami percaya kami berada dalam kedudukan yang tepat untuk mengulas mengenai kesan besar serangan Israel terhadap Gaza, terutama korban wanita dan kanak-kanak.
Surat itu juga menyeru pentadbiran Biden untuk mengambil bahagian dalam embargo senjata terhadap Israel dan semua kumpulan Palestin, termasuk menyekat sokongan ketenteraan, diplomatik serta ekonomi Tel Aviv sehingga gencatan senjata kekal dicapai.
“Kami percaya, kerajaan bertanggungjawab untuk melakukan ini, kedua-duanya di bawah undang-undang AS dan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa,” katanya.
Gesaan itu dibuat ketika White House berusaha mendesak Israel untuk menerima perjanjian gencatan senjata.
Sumber memberitahu CNN, Biden dijangka bersikap tegas seperti yang dilakukan sebelum ini dalam mendesak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk bersetuju dengan perjanjian itu.










