Protes antikuota: Bangladesh gantung internet mudah alih

Protes antikuota: Bangladesh gantung internet mudah alih

PENUNJUK perasaan menyelamatkan diri selepas polis melepaskan gas pemedih mata semasa demontrasi antikuota di Universiti Dhaka.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Protes pelajar terhadap sistem kuota dalam pekerjaan sektor kerajaan masih diteruskan  walaupun demontrasi itu meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan menyebabkan puluhan lagi cedera setakat minggu ini.

Pihak berkuasa Bangladesh memotong beberapa perkhidmatan internet mudah alih selepas pertempuran ganas itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan berakhir.

Sebahagian kedai dan pejabat masih dibuka di Dhaka, tetapi operasi perkhidmatan bas dilihat berkurang susulan gesaan penutupan seluruh negara daripada pelajar yang menuntut pemansuhan peruntukan kuota sebanyak 30 peratus, tidak mendapat sambutan.

Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan pelajar yang menghalang lebuh raya utama di bandar pelabuhan selatan Chittagong, ketika perkhidmatan mudah alih dihentikan di kebanyakan kawasan negara itu.

Menteri Teknologi Maklumat, Zunaid Ahmed Palak berkata, internet mudah alih digantung buat sementara waktu kerana pelbagai khabar angin dan situasi tidak stabil yang diwujudkan di media sosial.

Beliau berkata, perkhidmatan itu akan dipulihkan sebaik sahaja keadaan kembali normal.

Semalam, Bangladesh mengumumkan menutup semua universiti awam dan swasta serta institusi pendidikan lain.

Protes itu merupakan cabaran penting pertama buat kerajaan Perdana Menteri, Sheikh Hasina sejak memenangi penggal keempat berturut-turut pada Januari, dalam pilihan raya yang diboikot oleh parti pembangkang, Bangladesh Nationalist Party (BNP).

Beribu-ribu pelajar telah berdemonstrasi sejak Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan kerajaan, yang dimansuhkan pada 2018.

Sistem itu memperuntukkan 56 peratus daripada jawatan masuk pekerjaan kerajaan untuk demografi dan kelas tertentu.

Ia mencetuskan kemarahan dalam kalangan pelajar yang menghadapi isu pengangguran, dengan hampir 32 juta anak muda Bangladesh tidak bekerja atau belajar.

Demontrasi menjadi semakin tegang selepas Hasina enggan memenuhi tuntutan penunjuk perasaan dan melabel penentang kuota itu sebagai ‘razakar’, istilah digunakan untuk mereka yang didakwa bekerjasama dengan tentera Pakistan semasa perang 1971.

Protes bertukar menjadi ganas minggu ini apabila ribuan penunjuk perasaan antikuota bertempur dengan anggota sayap pelajar parti pemerintah, Liga Awami di seluruh negara.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN