GUA MUSANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mahu menang bergaya dengan meraih 3,200 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sekali gus mempertahankan kerusi berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, beliau yakin momentum kemenangan pada PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang lalu mampu diteruskan sekali gus merealisasikan hasrat menang dengan majoriti tersebut.
“Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu Perikatan Nasional (PN) menang dengan 810 undi.
“Namun untuk kali ini, kita (PN) mahu majoriti lebih tiga kali ganda,” katanya semasa menyampaikan ucapan semasa Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PRK Nenggiri di Markas Pas Limau Kasturi 2, di sini malam ini.
Kamarudin memberitahu, PRK Nenggiri
diadakan selepas wakil rakyat PN dari Bersatu bertindak melanggar peraturan dengan menyokong parti lawan.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi Abu Naim
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Pada PRK lalu, calon PN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.- UTUSAN










