KOTA TINGGI: Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan semua pihak untuk datang berceramah dan berkempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, BN tidak menghalang mana-mana pihak untuk datang membantu kempen pihaknya dalam usaha memastikan kemenangan calon BN nanti.
“Surat itu pun surat palsu, bermakna surat layang. Tidak ada kebenaran pun.
“Setakat ini kita mengalu-alukan semua pihak yg boleh memenangkan calon BN di Nenggiri,” katanya mengulas surat yang tular bahawa BN tidak membenarkan Unit Daerah Mengundi (UDM) BN menjemput empat individu termasuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli untuk tampil di pentas ceramah sepanjang PRK DUN Nenggiri nanti.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui selepas menyampaikan Perutusan Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Bandar Penawar, dekat hari ini.
Menerusi hantaran dalam laman Facebook hari ini, BN menyifatkan kenyataan palsu seperti itu adalah mainan politik untuk memecah-belahkan perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengakui langkah memperkenalkan calon PRK Nenggiri lebih awal memberi kelebihan kepada BN.
Katanya, calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sudah mula ‘bergerak’ menemui para pengundi di kawasan tersebut.
PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas penyandang Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian daripada Bersatu apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 3 dan 13 Ogos ini. – UTUSAN










