Pinda Akta Anti Lompat Parti

Pinda Akta Anti Lompat Parti

ANWAR Ibrahim bercakap kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah Presint, Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia berbincang meminda Akta Anti Lompat Parti (Akta A1663) bagi menutup lompang yang wujud dalam akta berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui ‘ada sesuatu yang tidak kena’ dengan akta tersebut.

Beliau berkata, pihaknya (Pakatan Harapan) pada 2022 pernah mencadangkan mana-mana yang dipecat dari parti supaya mengosongkan kerusi.

“Dulu, kita (PH) cadang supaya mana-mana yang ditolak oleh parti digugurkan (kosongkan kerusi) tapi tidak dipersetujui kerajaan masa itu.

“Sebab dia (pembangkang) masa itu, orang UMNO masuk parti dia. Bagi saya, kalau nak pinda boleh kita bincang. Dulu dia menentang dan ramai tak tahu.

“Kalau dia (pembangkang) nak pinda, kita boleh bincang. Boleh pinda,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah, Presint 9, di sini semalam.

Katanya, ketika di blok pembangkang dahulu, PH pernah mengusulkan supaya siapa sahaja ditolak oleh parti secara automatiknya digugur (kosongkan Parlimen), namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.

Baru-baru ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan untuk tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

Enam Ahli Dewan Rakyat itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu dilaporkan berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dan ia jelas bercanggah dengan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Speaker langsung tidak menghormati peruntukan Perlembagaan yang jelas bahawa perkara 49A Perlembagaan Persekutuan menyatakan mana-mana ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan.

Ujarnya, selaras dengan peruntukan tersebut, Bersatu telah membuat pindaan perlembagaan parti itu untuk memasukkan keadaan yang mana wakil rakyat parti itu terhenti keahliannya serta merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Kesannya, dia (Ahli Parlimen) itu mesti kosongkan kerusi dan itu mesti diisytiharkan oleh Speaker. Tapi kita pun tidak faham adakah Speaker buat taksiran sengaja atau memang dia tidak tahu kerana taksiran dia tidak betul.

“Banyak juga peguam atau pakar-pakar perundangan juga berpendirian sama bahawa keputusan Speaker itu tidak betul. Saya bercakap begini pun, saya rujuk dahulu pakar-pakar Perlembagaan kerana tindakan kita teratur dalam soal ini.

“Sebagai contoh, apa yang Speaker Kelantan lakukan dalam isu di Nenggiri tidak ada beza dengan situasi ini mengapa keputusan Speaker Dewan Rakyat ini boleh berbeza-beza. Kita akan susuli dengan tindakan undang-undang dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh pula berpandangan, akta tersebut yang diluluskan di Parlimen ternyata menjadi sia-sia apabila tidak mampu melarang wakil rakyat yang berpaling tadah mengosongkan kerusi.

Beliau berkata, semua pihak tidak boleh menyalahkan masyarakat jika mereka benci dengan orang politik yang secara dasarnya menganggap kestabilan politik hanya untuk kepentingan diri.

“Maka sia-sialah Akta Anti Lompat Parti yang diminta oleh rakyat selama ini. Kestabilan politik hanya untuk kepentingan diri.

“Jangan marah jika rakyat benci pada orang politik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN