SEOUL: Ratusan penyokong hak pesakit Korea Selatan berhimpun hari ini, untuk menggesa pegawai perubatan menghentikan mogok berpanjangan yang menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam.
Kira-kira 300 penunjuk perasaan berkumpul di ibu negara untuk menyeru supaya mogok dihentikan dan undang-undang bagi menghalang tindakan industri.
“Kami tidak dapat lagi menanggung kerosakan dan kebimbangan yang berterusan. Dalam apa pun keadaan, perkhidmatan perubatan untuk pesakit tidak boleh digantung,” kata penganjur.
Sejak Februari lalu, ribuan doktor pelatih melancarkan mogok bagi membantah rancangan kerajaan untuk meningkatkan kuota sekolah perubatan yang didakwa akan menjejaskan kualiti pendidikan pakar.
Mogok itu mengakibatkan gangguan perkhidmatan di hospital dan memaksa penangguhan atau pembatalan rawatan utama, termasuk kemoterapi.
Pada Mei, kerajaan memuktamadkan kenaikan kuota kemasukan sekolah perubatan sekitar 1,500 orang untuk tahun depan, dikatakan mampu menangani isu kekurangan doktor dan populasi yang semakin tua.
Doktor kanan dan profesor perubatan di beberapa institusi perubatan utama negara baru-baru ini, menyertai mogok tanpa had itu sebagai tanda solidariti.
Malah, terdapat doktor di beberapa kemudahan perubatan terbesar negara itu juga menangguhkan rawatan pesakit luar dan pembedahan bukan kecemasan.- AFP










