Pengusaha kilang berdepan denda RM10 juta, penjara

Pengusaha kilang berdepan denda RM10 juta, penjara

Seorang kanak-kanak menadah air yang disediakan Air Selangor susulan berlaku gangguan bekalan di Taman Rakyat, Klang semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengusaha sebuah pemprosesan plastik yang disyaki menjadi punca pencemaran tiga sungai hingga menjejaskan bekalan air untuk 1.1 juta pengguna berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10 juta.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan awal mendapati berlaku kebocoran pada tangki simpanan produk Poly Methacrylic Acid (PMAA) di premis itu sehingga mengalir ke longkang dan sungai.

“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan JAS sebelum tindakan lanjut diambil ke atas pihak terlibat.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sebelum ini dipinda pada Julai tahun lalu. Di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda tidak lebih RM10 juta, jika disabitkan kesalahan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan berlaku kebocoran tangki di sebuah kilang plastik kelmarin yang mengalir ke Su­ngai Kundang, Sungai Kuang dan Sungai Sembah.

Susulan itu, Loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SPP1, SSP2 dan SPP3) yang dihenti tugas kembali beroperasi petang semalam selepas bacaan 0 ton direkodkan tiga kali berturut-turut.

Gangguan bekalan air menjejaskan 1.1 juta pengguna di lebih 1,000 kawasan tujuh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur itu dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Se­langor, Izham Hashim berkata, pemeriksaan awal mendapati kilang berkenaan mempunyai lesen dan beroperasi secara sah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN