Paras air di Empangan Selangor mampu bertahan enam bulan

Paras air di Empangan Selangor mampu bertahan enam bulan

Paras empangan
EMPANGAN Langat antara tujuh empangan yang terdapat di negeri ini yang mempunyai paras air melebihi 75 peratus. - Gambar LUAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kadar kapasiti air di ketujuh-tujuh empangan di negeri ini masih baik apabila parasnya melebihi 75 peratus, mampu membekalkan sumber air antara tiga hingga enam bulan ke depan.

Malah, paras air di kesemua empangan itu juga dijangka kekal sabil dalam beberapa bulan akan datang melalui kawalan pelepasan air oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin dalam kenyataannya berkata, data Indeks Kualiti Air (IKA) sungai utama negeri sehingga April 2026 oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menunjukkan keadaan yang baik.

“Pemantauan kualiti sumber air itu juga diperkasakan dengan pemantauan 24 jam tanpa henti di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi pengawalan dan pengawasan insiden pencemaran sumber air yang berisiko kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA).

“Tindakan itu melibatkan pemantauan statik di empat lokasi dan pensampelan in-situ yang dijalankan pada setiap jam, serta rondaan tiga kali sehari melibatkan 14 lokasi berisiko di lembangan-lembangan sungai tersebut,” katanya.

Tambahnya, bagaimanapun sekiranya paras empangan sungai menurun sehingga kapasitinya bawah 50 peratus, kerajaan negeri akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Baru-baru ini, negara dilapor mula memasuki kemuncak Monsun Barat Daya yang dijangka berlarutan sehingga September 2026 dan dalam tempoh tersebut, taburan hujan khususnya di Selangor lazimnya lebih rendah.

Malah, situasi tersebut bakal mencetuskan fenomena El Nino susulan peningkatan jumlah hari tanpa hujan, malah perkembangan fenomena itu dibimbangi memberi tekanan kepada sumber air neger.

Bagaimanapun, Jamaliah turut memaklumkan negeri ini mempunyai lebih 140 kolam sumber air alternatif dan beberapa bekas lombong di bawah Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) yang dikenal pasti mengikut lembangan sungai untuk dinaik taraf dengan infra struktur bekalan sumber bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah.

“Pelaksanaan SORSS membolehkan penggunaan sumber air alternatif dioptimumkan dengan keupayaan bekalan sehingga tiga bulan melalui pengepaman air kolam ke sungai menggunakan pam mudah alih ketika paras air sungai rendah akibat cuaca panas dan kering.

“Secara keseluruhannya, kesediaan sumber air negeri dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi Monsun Barat Daya dan fenomena El Nino,” ujarnya.

Tambanya, lembangan Sungai Selangor, beberapa kawasan takungan dilengkapi fasiliti pam bagi penyaluran sumber air alternatif dengan kapasiti maksima aliran sebanyak 3,840 liter sehari (JLH) melibatkan pembangunan Projek SJAM Pakej A dan B dan penggunaan pam berkapasiti sebanyak 770 JLH maksima hasil dari pembangunan Projek SJAM Pakej D. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN