SHAH ALAM: Tarif air baharu bagi 9.3 juta penduduk di sekitar Lembah Klang dan seluruh negeri ini yang melibatkan hampir 2.8 juta pemilik akaun melibatkan peningkatan antara 120 hingga 168 peratus bermula 1 September ini.
Peningkatan tersebut melibatkan pengguna domestik, komersial dan kategori khas yang melibatkan peningkatan antara RM0.66 hingga RM7.08 bagi setiap meter padu.
Bagaimanapun kadar asas bagi domestik di bawah 20 meter padu kekal pada RM0.65 semeter padu dengan penyelarasan kali terakhir dibuat pada Ferbruari tahun lalu.
Bagi pengguna domestik yang menggunakan air antara 20 hingga 35 meter padu akan mengalami peningkatan sebanyak RM1.62 berbanding kadar semasa RM0.30 bagi setiap meter padu.
Sementara pengguna yang menggunakan air bersih melebihi 35 meter padu akan dikenakan caj RM3.51 bagi setiap meter padu berbanding kadar semasa RM0.88, meningkat sebanyak 137.5 peratus.
Peningkatan turut melibatkan pengguna di rumah kos rendah yang sebelum ini dikenakan caj sebanyak RM0.10 semeter padu dan dinaikkan sebanyak RM1.08 kepada RM1.18 iaitu melibatkan peningkatan 168.75 peratus.
Selain itu, kadar baharu bagi caj pukal pula dikenakan kepada kuarters estet dan kuarters kerajaan pada kadar RM20.90 sen sebulan sementara kadar pukal bagi kondominium kekal pada RM173 sebulan.
Bagi rumah ibadat dan institusi kebajikan pula, kenaikan dikenakan lebih rendah dengan peningkatan sebanyak RM0.66 iaitu RM0.10 kepada RM0.76 bagi semeter padu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga membenarkan kadar bukan domestik dinaikkan kepada RM3.51 semeter padu bagi penggunaan sehingga 35 meter padu bagi ruang komersial dan bangunan bukan domestik.
Menurutnya, bagi penggunaan melebihi 35 meter padu, caj yang dikenakan adalah sebanyak RM3.83 semeter padu.
“Bagi perkapalan, dengan mengambil kira penggunaan air yang meningkat dalam industri perkapalan, caj baharu bagi kategori itu akan beralih sebanyak RM0.93 kepada RM8.01 setiap meter padu.
“Kerajaan negeri juga menerima keputusan Jemaah Menteri untuk mengenakan kadar air sebanyak RM5.31 meter sepadu bagi pusat data. Kerajaan menyedari pusat-pusat data menggunakan kadar air yang mampu mencecah berjuta liter sehari untuk tujuan penyejukan sistem operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, sejak penyelarasan taraf air pada Februari 2024, syarikat penyedia perkhidmatan air negeri, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) merekodkan peningkatan margin rizab air kepada 16.74 peratus pada Jun lalu berbanding 13.86 peratus.
Amirudin berkata, peningkatan margin bagi memastikan Selangor dapat menghadapi perubahan cuaca seperti kemarau.
“Air Selangor juga melaksanakan penggantian paip sepanjang 732.65 kilometer (km) sejak 2018 dan menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 27.7 peratus pada 2024 kepada 27.3 peratus pada Jun lalu.
“Kerajaan negeri berpendirian, pelarasan tarif penting supaya langkah-langkah meningkatkan rizab air kepada 20 peratus menjelang 2030 amat diperlukan.
“Pelarasan itu juga akan membolehkan Air Selangor mengukuhkan usaha penukaran paip asbestos yang melebihi 40 tahun sepanjang 1,600 km di seluruh negeri pada kadar 300km setahun bermula tahun ini,” jelasnya.
Katanya lagi, bagaimanapun kerajaan negeri akan terus memberikan air percuma kepada lebih 1.3 juta rakyat negeri ini yang meliputi 337,851 pemilik akaun di bawah Skim Air Darul Ehsan (SADE) bernilai RM13 sebulan.
“Selain itu, kerajaan negeri juga akan menampung peningkatan caj bekalan air bagi rumah-rumah ibadat dan institusi kebajikan dengan anggaran kos sebanyak RM100,000 setahun.
“Kerajaan negeri akan menanggung kos sebanyak anggaran sehingga RM52.7 juta bagi memastikan usaha untuk mengukuhkan perkhidmatan air tidak meningkatkan kos sara hidup rakyat yang memerlukan,” tambahnya. – UTUSAN
Ringkasan
Tarif air Selangor berkuat kuasa pada 1 September 2025
Domestik
- Penggunaan awam
* Penggunaan 20 meter padu -> Kekal RM0.65 semeter padu (diselaras pada Februari 2024)
* 20 hingga 35 meter padu = RM0.30 naik RM1.62 semeter padu
* 35 meter padu ke atas = RM0.88 naik kepada RM3.51 semeter padu - Penggunaan lain
* Kondominium (pukal) -> Kekal RM173 sebulan
* Kuarters estet dan kuarters kerajaan -> RM20.90 sebulan
* Rumah kos rendah = RM0.10 naik RM1.18 semeter padu
Bukan domestik dan kategori khas
- Rumah ibadat dan institusi kebajikan = RM0.10 naik RM0.76 semeter padu
- Ruang komersial dan bangunan bukan domestik
Sehingga 35 meter padu -> RM3.51 semeter padu
Lebih 35 meter padu -> RM3.83 semeter padu - Perkapalan = RM0.93 naik RM8.01 semeter padu
Kategori baharu, pusat data
* RM5.31 semeter padu.










