Penduduk bantah pembinaan ladang ayam

Penduduk bantah pembinaan ladang ayam

PENDUDUK yang membantah pembinaan ladang ternakan ayam berdekatan kampung mereka di Sungai Balai di Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Sekumpulan penduduk Sungai Balai di sini mengadakan perhimpunan bagi menyatakan bantahan terhadap pembinaan ladang ternakan ayam berdekatan kampung mereka.

Mereka juga membantah kerana ladang ternakan itu terletak berhampiran kawasan istiadat pertabalan Sultan Perak, Beting Beras Basah di sini yang menjadi tumpuan pelancong.

Mereka yang mengadakan perhimpunan memasang kain rentang dengan perkataan menolak cadangan pembinaan ladang tersebut.

Seorang penduduk, Mohamad Zaini Zainudin, 44, berkata, mereka membantah pembinaan ladang itu kerana tidak mahu berdepan dengan bau busuk dan kesihatan kerana lokasi ladang itu hampir dengan penempatan penduduk.

“Kami membantah pembinaan ladang ayam yang berdekatan kawasan penduduk. Selain rumah penduduk, di sini juga terdapat surau, tanah perkuburan Islam yang dikhuatiri akan menyebabkan pelbagai masalah seperti pencemaran bau dan isu kesihatan.

“Kami bimbang kawasan kampung kami dipenuhi lalat disebabkan ladang ayam tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, penduduk juga kesal kerana ladang ternakan tersebut tidak jauh dari Beting Beras Basah, iaitu antara lokasi tumpuan pelancong yang datang ke daerah ini.

Jelasnya, ladang ternakan itu terletak hanya beberapa kilometer dari kawasan Beting Beras Basah.

“Di sini juga terdapat ‘sky mirror’ yang menjadi tumpuan pelancong. Kami bimbang ladang ternakan ini akan menjejaskan kedatangan pelancong ke lokasi ini,” katanya.

Wakil penduduk,’ Nordin Md Dauh, 64, berkata, selain pencemaran bau, penduduk bimbang kerana jalan keluar masuk ke lokasi ladang itu akan rosak kerana sempit dan tanahnya lembut.

Katanya, jika lori berat melalui jalan tersebut, ia akan menyebabkan laluan di situ rosak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN