PETALING JAYA: Pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi bukti bahawa UMNO sebenarnya tidak menolak kerjasama dengan Pas.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, beliau percaya perkara yang ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri itu adalah pengalamannya menerusi kerjasama Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
“Pandangan Presiden adalah pengalaman bersama MN. Jadi sudah tentu Presiden mengetahui yang sebenarnya dimaksudkan Presiden.
“(Namun), maknanya Presiden tidak menolak (kerjasama dengan Pas), tetapi dengan syarat-syarat yang diberikan Presiden,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, media melaporkan, Ahmad Zahid membayangkan kerjasama dengan Pas tidak mungkin berlaku selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti terbabit.
Dalam pada itu, Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, Ahmad Zahid tidak menolak hubungan kerjasama dengan Pas, malah pernah mengungkapkan UMNO dan Pas berpisah tiada dalam satu pertemuan berkaitan MN sebelum ini.
Justeru, katanya, MN digagalkan kerana sikap tidak jujur dan serius serta politik berlebihan individu tertentu.
“Ahmad Zahid cakap begitu kerana tahu sikap rasa tidak ikhlas atau perhubungan pemimpin tertentu sebelah sana yang menggagalkan Muafakat Nasional.
“Veteran menyokong pendirian Ahmad Zahid sebab kalau ada pemimpin parti yang sombong dan bongkak yang menggagalkan satu rancangan baik untuk kepentingan ummah, boleh buat kerjasama lagi orang seperti itu?” soalnya. – UTUSAN










