Pertemuan UMNO-Pas satu langkah positif, bukan hanya tumpu agenda politik - Ahmad Zahid

Pertemuan UMNO-Pas satu langkah positif, bukan hanya tumpu agenda politik – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi menyantuni kanak-kanak tabika Kemas pada Majlis Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) 2026 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertemuan antara wakil UMNO dan Pas baru-baru ini dilihat sebagai satu langkah positif dan wajar diteruskan menerusi rundingan lanjut bagi merungkai pelbagai isu serta perbezaan yang wujud antara kedua-dua parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya merestui pertemuan yang diadakan atas inisiatif kepimpinan kedua-dua parti itu bagi membincangkan beberapa perkara yang tidak semestinya berkaitan agenda politik.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun terdapat perkara yang mempunyai kaitan dengan politik, ia perlu diperhalusi dengan mengambil kira kedudukan UMNO yang kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Kita merestui perjumpaan yang diinisiatifkan oleh kepimpinan UMNO dan Pas untuk merungkai beberapa permasalahan dan agenda yang bukan agenda politik.

“Jika ia ada terkait pun dengan politik, ia tentunya akan lebih diperhalusi kerana kita tetap berada di dalam Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sekarang ini. Itu asas kita dan asas itu mesti dihormati,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertemuan antara wakil UMNO dan Pas baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ruang perundingan antara kedua-dua parti perlu sentiasa dibuka bagi mencari pendekatan baharu dalam mendepani perubahan landskap politik negara.

Katanya, tidak ada sebarang masalah atau perbezaan pendapat yang tidak boleh dirungkaikan sekiranya wujud kesediaan untuk berunding dan mencari titik persamaan.

“Pintu harus juga dibuka untuk kita mengadakan perundingan dan juga mencari beberapa pendekatan baharu jika dinamika politik ini akan berlangsung satu ketika nanti.

“Saya yakin tidak ada suatu pun masalah yang tidak boleh dirungkaikan dan tidak ada suatu pun perbezaan pendapat selama ini yang tidak boleh dilakukan penyatuan semula,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau melihat pertemuan berkenaan sebagai perkembangan yang konstruktif dan berharap ia dapat disusuli dengan beberapa langkah lanjut pada masa akan datang.

“Saya melihat pertemuan ini satu langkah positif yang harus disusuli dengan beberapa langkah selanjutnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masing-masing telah mengesahkan pertemuan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN