Perang politik lemahkan Melayu - Utusan Malaysia

Perang politik lemahkan Melayu

Tahun 1946 ketika menentang Malayan Union dilihat sebagai kali terakhir orang Melayu bersatu secara besar-besaran. Merentasi negeri, kelas, dan latar politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA ditanya bilakah kali terakhir umat Melayu di negara ini bersatu dalam politik bagi mempertahankan agama, bangsa dan raja-raja, rasanya tidak ada angka lain yang kita boleh ingat.
Hanya satu tarikh atau satu tahun yang boleh dirujuk sebagai perpaduan Melayu yang hampir menyeluruh dan paling berkesan – tahun 1946. Ini adalah tahun penentangan Malayan Union.

Orang Melayu dari semua peringkat bersatu menentang usaha penjajah untuk mengetepikan kepentingan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan menyingkirkan kuasa raja dan sultan.

Tahun 1946 dianggap dan dilihat sebagai kali terakhir orang Melayu bersatu secara besar-besaran. Merentasi negeri, kelas, dan latar politik. Penyatuan kolektif ini menyatukan raja-raja Melayu, golongan istana, ulama, nasionalis, dan rakyat biasa. Hasilnya ia memastikan Melayu tidak hilang negara, mengekalkan kuasa politik dan institusi raja-raja diselamatkan.

Rentetan daripada penyatuan ini juga membawa kepada rundingan kemerdekaan dengan dua kaum utama lain iaitu Cina dan India sudi duduk semeja untuk mencari formula terbaik bagi membentuk sebuah negara merdeka yang kemudiannya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Penyatuan ini terus dibawa ke era menuntut kemerdekaan antara tahun 1955 hingga 1957. Walaupun sudah wujud riak-riak perbezaan pandangan politik, tetapi atas matlamat untuk mencapai kemerdekaan, bagi membebaskan diri daripada penjajah kesepaduan relatif kekal dalam kalangan orang Melayu bagi menyokong rundingan kemerdekaan.

Selepas itu Melayu mula berpecah. Kumpulan-kumpulan dengan ideologi berbeza mula muncul UMNO yang sebelum itu menjadi platform menyatukan Melayu pada 1946. Perbezaan itu melahirkan kumpulan-kumpulan serpihan yang menubuhkan parti-parti politik baharu untuk mencabar kuasa Melayu yang dibawa UMNO termasuk Pas.

Jika dilihat kepada kajian oleh pakar-pakar akademik, mereka menyimpulkan bahawa, selepas era menuntut kemerdekaan itu, orang Melayu sekali bersatu -tetapi bukan pada skala tahun 1946 – iaitu pasca 1998 yang digelar sebagai gerakan reformasi.

Ahli-ahli akademik berpendapatan pada ketika ini muncul kembali semangat kebersamaan oleh orang Melayu bagi menuntut pembaharuan politik dan keadilan. Namun, ia tidak menyeluruh dan kemudiannya berpecah disebabkan ideologi parti dan politik. Disebabkan gerakan inilah maka pada 1999, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menyaksikan kawasan-kawasan Parlimen yang didominasi oleh Melayu yang melebihi 60 peratus dikurangkan kepada sekitar 50 peratus atau 49 peratus.

Matlamat utama adalah untuk membendung gelombang kebangkitan Melayu ini bagi mengekalkan kuasa Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan melalui pengundi yang lebih seimbang antara Melayu dan bukan Melayu.

Dan selepas tahun 2000-an tidak ada lagi penyatuan secara kolektif kerana orang Melayu diracik-racikkan mengikut parti, negeri dan wilayah, ekonomi dan generasi yang dibina tanpa terteras sentimen kaum.

Sejak tahun 2000-an ini politik Melayu terus berperang sesama sendiri hingga ada yang sanggup menggadai ideologi dan perjuangan demi mendapat kuasa. Sebab itu, dalam era ini kita melihat kemunculan pelbagai pakatan. Daripada Pakatan Rakyat kepada Pakatan Harapan dan akhirnya kini melahirkan Kerajaan Perpaduan.

Siapa akan menyangka, Pas yang ditunjangi Melayu-Islam yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam boleh duduk sepentas dengan DAP dalam beberapa siri pilihan raya umum semata untuk menjatuhkan BN yang diterajui oleh Melayu-UMNO.

Perang politik antara Melayu Pas-UMNO itu tidak pernah reda hingga membawa kepada isu kafir-mengkafir dan pulau memulau yang menyaksikan perpecahan Melayu paling dahsyat yang memaksa mereka bergabung dengan parti bukan Melayu demi meraih kuasa.

Melayu dalam UMNO sendiri berpecah apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46 yang berpakat dengan Pas dan DAP untuk menumbangkan BN. Selepas Semangat 46 hilang sokongan, UMNO sekali berpecah pada 1998 ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menubuhkan PKR selepas itu.

Seterusnya, UMNO berpecah ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang mana melahirkan Bersatu dan Warisan.

Melayu dalam Pas juga tidak pernah aman. Sentiasa ada perbalahan dan perpecahan hingga yang paling serius pada 2015 yang menyaksikan pertembungan antara golongan profesional dan ulama.

Pada Muktamar Pas 2015 menyaksikan kekalahan besar golongan progresif diikuti dengan penyingkiran pemimpin-pemimpin kanan daripada Jawatankuasa Pas Pusat. Para pemimpin ini meninggalkan Pas lalu menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah), dan Pas selepas itu meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ketika Pas dilihat sudah stabil dan dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu mereka dilihat mampu menjadi alternatif kepada kerajaan sekarang, rupa-rupanya ada ribut dalaman yang menggugat perpaduan mereka.

Krisis politik di Perlis memperlihatkan ada yang tidak kena saf kepimpinan Pas sehingga ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak membelakangkan arahan pucuk pimpinan.

Begitu juga, ketika Pas dan Bersatu dilihat sebagai penyatuan Melayu yang boleh mengambil alih kedudukan UMNO, hujung-hujung wujud perbalahan kepimpinan yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Pasca 2000-an, politik Melayu tidak pernah stabil. Tidak ada satu pun penyatuan yang benar-benar mantap yang boleh menyumbang kepada kestabilan politik negara. Perlu diakui bahawa apabila Melayu berpecah belah, maka politik negara juga tidak akan stabil kerana tanpa perpaduan Melayu tidak ada kerajaan yang solid dapat dibentuk.

Sebab itu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018 yang menyaksikan UMNO buat pertama kali hilang kuasa, politik negara terumbang-ambing. Tidak pernah kita lihat pertukaran Perdana Menteri yang begitu banyak dalam masa yang singkat. Kerana Melayu tidak bersatu, politik menjadi huru-hara. Tidak ada pakatan yang kekal melebihi satu penggal. Siapa pernah terbayang UMNO dan DAP akan berjabat tangan untuk duduk semeja dalam kerajaan.

Sebelum itu, siapa sangka Anwar dan Mahathir akan kembali berjabat tangan untuk menjatuhkan satu lagi kelompok Melayu yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak ada siapa boleh meramalkan bila perang politik Melayu ini akan berakhir. Namun, realitinya selagi Melayu berpecah-pelah, selagi majoriti Melayu tidak bersatu maka politik negara akan terus terumbang-ambing dan tidak stabil. Yang rugi sudah tentulah orang Melayu. Walaupun enam negeri didominasi oleh parti Melayu tetapi mereka hilang punca kuasa di peringkat Persekutuan.

AZNAN BAKAR adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN