ARAU: Kekalahan calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dengan majoriti jauh lebih besar memberi mesej jelas kepada UMNO bahawa orang Melayu semakin menjauhi parti itu.
Justeru, UMNO perlu sedar mereka semakin mustahil untuk bangkit sekiranya masih mengekalkan kepemimpinan sedia ada dan menjalinkan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH).
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, jika dahulu, UMNO menjadi tempat kebergantungan orang Melayu, sekarang orang Melayu Islam sudah beralih kepada Pas dengan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRK-PRK sebelum ini membuktikannya.
Menurut beliau, sokongan terhadap Pas semakin bertambah manakala UMNO terus kehilangan sokongan orang Melayu.
“UMNO ini, makin mustahil akan pulih jika terus mengekalkan kepemimpinan sedia ada yang bekerjasama dengan PH itu. Terpulanglah kepada mereka jika tidak sedar lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) mempertahan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti lebih besar iaitu 4,267 undi.
Bekas eksekutif logistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya dari PH, Dr. Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.
MENGUNDI
Berdasarkan keputusan kiraan itu juga, PH hanya memenangi satu daripada lapan daerah mengundi iaitu Puteri Gunong dengan meraih 3,952 undi, dengan kelebihan tipis 369 undi.
PN pula menguasai tujuh daerah mengundi dengan memenangi semua sembilan saluran mengundi di Sungai Duri dengan meraih 3,101 atau majoriti 2,056.
Malah difahamkan, jumlah pengundi Cina dan India juga merosot antara 10 hingga 13 peratus.
Kata Hashim, kemenangan PN di Sungai Bakap juga menunjukkan rakyat menghantar isyarat jelas mengenai kekecewaan mereka terhadap kepincangan pengurusan kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah katanya, pengundi Cina juga dilihat mula menunjukkan protes terhadap kerajaan itu meskipun mereka tidak mengundi PN namun mereka tidak keluar mengundi.
Katanya, rakyat telah terjemahkan ketidakpuasan hati mereka khususnya terhadap dasar-dasar kerajaan seperti penyasaran subsidi diesel melalui peti undi yang sekali gus kerajaan boleh menilai keputusan rakyat itu.
“Kemarahan terhadap polisi dan dasar kerajaan itu juga ditunjukkan oleh pengundi Cina yang tidak keluar mengundi calon PH. Saya jangka kita menang ratusan undi sahaja namun tidak sangka majoriti sampai lebih 4,000 undi.
“Momentum kemenangan PN di Sungai Bakap itu juga dijangka berterusan dalam PRK di Nenggiri selepas ini. Gelombang ini akan berterusan,” katanya. – UTUSAN










