Sukar hidupkan semula MN

Sukar hidupkan semula MN

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerjasama Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dianggap antara strategi politik paling berkesan dalam menyatupadukan orang Melayu Islam sebelum ini sukar dihidupkan.

Hal demikian kerana pendirian semasa UMNO untuk bersama DAP selain Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri menolak kerjasama dengan Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, formula atau bentuk kerjasama yang pernah dijalin antara Pas dan UMNO menerusi MN sebelum ini adalah satu permuafakatan yang terbaik pernah berlaku.

KERJASAMA

Namun katanya, sebarang kerjasama pada masa depan atau dalam masa terdekat ini perlu mengambil kira perubahan dan pendirian semasa UMNO memandangkan Pas tidak ada masalah untuk penya­tuan ummah tersebut.

“Jadi kalau Muafakat Nasional macam dulu mungkin tak boleh dan agak sukar dire­a­lisasikan dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pas tidak pernah mengisytiharkan UMNO sebagai musuh dan sentiasa terbuka untuk kedua-dua parti itu be­kerjasama di sebalik kenyataan Ahmad Zahid yang menolak kerjasama dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presidennya.

Kata Ahmad Zahid, sikap pimpinan tertinggi Pas itu yang didakwa kerap berbohong membuatkan UMNO tawar hati untuk bekerjasama.

Malah, pada 5 Disember lalu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri juga pernah menyifatkan Pas sebagai ‘gila talak’ apabila parti itu tidak menolak untuk kembali bekerjasama dengan UMNO.

KEPARTIAN

Dalam perkembangan lain, Hashim berkata, kerajaan Perpaduan mutakhir ini di­lihat banyak bertindak berdasarkan kepentingan kepartian semata-mata termasuk dalam soal enam kerusi bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak dikosongkan.

“Itu kita tak boleh nafikan. Apa yang dia rasa dia tak untung, dia tak akan buat dan apa yang untungkan dia, itu yang dia buat.

“Tindakan tersebut menambahkan lagi perkara yang menyebabkan sistem pemerintahan sekarang semakin tidak boleh dipercayai, sedangkan sebelumnya Parlimen sudah meluluskan Akta Antilompat Parti.

“Rakyat sudah pun me­nunjukkan bahawa kepercayaan mereka kepada kerajaan hari ini semakin terhakis, sebagaimana dapat disaksikan dalam keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN