Pemandu maut akibat tersepit, lori rempuh kedai di Bandar Lama Jerantut - Utusan Malaysia

Pemandu maut akibat tersepit, lori rempuh kedai di Bandar Lama Jerantut

LORI muatan tar melanggar sebuah kereta kemudiannya merempuh sebuah kedai mengakibatkan pemandunya meninggal dunia dalam kemalangan di Bandar Lama Jerantut di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang lelaki maut akibat tersepit selepas lori dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Bandar Lama Jerantut di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, pemandu lori berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan polis mendapati lori dipandu oleh seorang lelaki Melayu dalam arah perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Datuk Bahaman menuju ke Jalan Bandar Lama.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu lori gagal mengawal kenderaannya dan melanggar van dipandu lelaki Melayu sedang melalui Jalan Bandar Lama dan kemudiannya sebuah kereta diparkir lalu merempuh sebuah kedai kosong,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Menurut Zukri, pemandu lori tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu van mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Jerantut.

“Kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai tujuh anggota bomba dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke lokasi pada pukul 2.47 petang dalam jarak satu kilometer dan tiba empat minit kemudian.

“Komander operasi, Osman Malek mengesahkan berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori yang membawa muatan tar melanggar sebuah van dan merempuh sebuah kereta dan sebuah kedai.

“Pemandu lori tersepit akibat melanggar kedai dan kemudiannya disahkan meninggal dunia, manakala mangsa dalam van juga seorang lelaki cedera di bahagian kaki dan dikeluarkan orang awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN