`Pelakon baharu sila sertai kelas lakonan dahulu’

`Pelakon baharu sila sertai kelas lakonan dahulu’

Fauziah Nawi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seniwati, Datuk Fauziah Nawi, 71, menyarankan semua pelakon baharu menyertai kelas lakonan sama ada secara berbayar atau percuma terlebih dahulu.

Kata Fauziah, perkara itu penting bagi mengelakkan timbul masalah di set penggambaran sehingga mengakibatkan hasil kerja dan semangat pelakon lain serta kru penggambaran terjejas.

“Tidak semua, tapi kebanyakan pelakon baharu, sama ada pempengaruh atau bukan, tidak tahu selok-belok lakonan.

“Ada yang sampai menyusahkan disebabkan mereka ini tidak tahu berlakon sehingga satu-satu babak itu terpaksa dibuat berkali-kali. Itu belum lagi yang tidak faham arahan pengarah.

“Sebab itu saya sarankan pergilah belajar (berlakon). Setidaknya mereka akan bersedia sebelum memulakan penggambaran,“Kalau enggan juga, terpulang. Jangan pula kelak susahkan orang lain yang bekerja dengan mereka,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.

Fauziah mengulas mengenai masalah yang ditimbulkan segelintir pelakon baharu yang diambil berlakon atas sebab populariti di media sosial.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 tersebut turut menasihatkan pelakon baharu agar tidak berkira-kira untuk menyertai kelas lakonan yang kini banyak dianjurkan.

“Kelas lakonan tidaklah mahal. Contoh, berbaloi untuk bayar RM300 hingga RM400 bagi kelas yang bermula pagi sampai ke malam termasuk kos makan minum.

“Selain kelas berbayar, kelas percuma juga disediakan. Contoh yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Tapi tidak ramai juga yang sertai.

“Apa pun saya tetap sarankan, kepada pelakon baharu, pergilah belajar asas lakonan. Kita mahu kerja apa pun, kena ada latihan dan belajar asas. Begitu juga lakonan,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×