Pak Itam ada tapi "disorok" - Utusan Malaysia

Pak Itam ada tapi “disorok”

USAHA mencari dan menyelamat Rosdan Mat yang dilaporkan hilang sejak 28 Jun lalu di Kampung Redan, Mela di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Usaha mencari dan menyelamat lelaki Orang Kurang Upaya (OKU), Rosdan Mat, 52, yang dilaporkan hilang sejak 28 Jun lalu di Kampung Redan, Mela di sini terus menemui jalan buntu walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa.

Kakak Rosdan, Ezah Mat, 54, berkata, solat hajat dan bacaan Yasin dilakukan hampir setiap hari bagi mendoakan adiknya ditemukan walau dalam apa juga keadaan.

“Selain pasukan penyelamat terdiri daripada polis dan bomba, penduduk kampung juga tidak putus-putus datang membantu mencari Pak Itam (panggilan untuk Rosdan).

“Saya dan semua ahli keluarga berharap agar Pak Itam dapat segera ditemukan sama ada hidup atau mati,” katanya di sini hari ini.

Bagi adik ipar Rosdan, Adnan Mat Isa, 54, berkata, mereka sekeluarga turut menggunakan alternatif lain termasuk meminta khidmat ustaz yang boleh mengesan orang hilang.

“Beberapa orang ustaz yang datang membantu memberitahu Pak Itam masih berada di sekitar kampung cuma dia ‘disorok’ di ‘alam sana’. Ustaz juga meminta kami meningkatkan usaha pencarian dan kerap mencari di pokok besar serta rumah kosong yang ditinggalkan,” ujarnya.

Tambahnya, kejadian ini bukan kali pertama sebaliknya pada 2016, Rosdan pernah hilang selama tiga hari sebelum ditemukan.

“Masa Pak Itam hilang, pelbagai usaha dilakukan. Namun kami semua terkejut apabila Pak Itam tiba-tiba muncul berjalan kaki dari arah kebun di belakang rumah.

“Pak Itam kata ada ‘orang’ bagi dia makan tapi kami tidak mahu bertanya lebih lanjut. Sejak kejadian itu juga tahap kesihatan dan mental Pak Itam makin merosot,” jelasnya.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, Rosdan dilaporkan hilang oleh adik iparnya pada 28 Jun lalu kira-kira pukul 9.39 pagi.

“Pengadu yang juga adik iparnya telah pergi ke rumah abang iparnya bernama Rosdan di Kampung Redan, Mela dan mendapati mangsa tiada di rumah. Difahamkan juga, kali terakhir pengadu bertemu dengan abang iparnya pada 26 Jun lalu,” katanya.

Ismail berkata, mangsa merupakan OKU yang mengalami masalah mental sejak berusia 14 tahun.

Ujarnya, individu yang mempunyai maklumat berkaitan orang hilang boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menerusi talian 093121999 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN