MT Ceres I ditemukan, dua bot tunda disyaki bawa lari kapal ditahan - Utusan Malaysia

MT Ceres I ditemukan, dua bot tunda disyaki bawa lari kapal ditahan

KAPAL MT Ceres I berjaya ditemukan di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kapal MT Ceres I yang dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian selepas insiden perlanggaran dengan kapal tangki MT Hafnia Nile kelmarin berjaya ditemukan di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman awal pagi tadi.

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md. Yunus berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Sao Tome and Principe itu  ditemukan dengan dua buah bot tunda sedang menundanya.

Katanya, kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Pekan milik Maritim Malaysia telah berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT Ceres I pada pukul 1.20 pagi tadi.

Pihaknya turut menahan kedua-dua buah bot tunda terbabit yang disyaki terlibat dalam membawa lari kapal tangki MT Ceres I.

“Pihak Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan melaksanakan siasatan lanjut tentang insiden dengan penemuan semula kapal MT Ceres I ini. 

“Sementara itu hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP milik Maritim Malaysia semalam menemukan sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian. 

“Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan tentang penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semalam media melaporkan kapal MT Ceres 1 yang terlibat dalam insiden perlanggaran  gagal dikesan dan dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu.

Kesemua 22 kru kapal MT Hafnia Nile yang membawa muatan bahan kimia jenis Naptha dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Jepun turut selamat dan menerima rawatan lanjut di Singapura selepas diselamatkan kapal Tentera Laut Singapura susulan pelanggaran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN