SUNGAI BULOH: Ahli keluarga mangsa bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah belum tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi urusan tuntutan jenazah hari ini.
Media sebelum itu difahamkan menerusi kiriman Whatsapp abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, yang menyatakan urusan berkenaan dijangka dilakukan selepas pengambilan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ibu mangsa di Hospital Kuala Kubu Bharu.
Jelasnya, perkara tersebut tidak mendapat kepastian waktu untuk menjalankan urusan tuntutan jenazah.
“Kami perlu selesaikan perkara urusan pengambilan sampel DNA ibu di Hospital Kuala Kubu Bharu.
“Saya tidak pasti lagi pukul berapa dapat hadir ke Jabatan Forensik untuk tuntut jenazah,” katanya.
Menurutnya, dia juga tidak dapat berkongsi maklumat lanjut berkaitan urusan pengebumian jenazah adiknya itu.
“Apa yang saya boleh katakan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Pekan, Pahang. Butiran berkaitan saya akan kongsi apabila tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan proses bedah siasat terhadap mayat Nur Farah Kartini yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh selesai pada jam 6.10 petang semalam.
Media melaporkan mayat wanita malang yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang, pada Isnin.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah ditahan dan direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -UTUSAN







