Masukkan ‘hilang kerusi’ jika sokong pemimpin, parti lain

Masukkan ‘hilang kerusi’ jika sokong pemimpin, parti lain

Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang menambah peruntukan ‘hilang kerusi’ jika Ahli Dewan Rakyat menyokong pemimpin atau parti lain jika mahu melakukan pindaan ke atas Akta Anti Lompat Parti.

Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berpendapat, peruntukan itu penting supaya kerajaan yang ditubuhkan lebih stabil.

Selain itu, menurut beliau, ia boleh mengelakkan daripada perubahan pentadbiran drastik yang boleh berlaku apabila Perdana Menteri hilang sokongan.

“Jika penambahbaikan undang-undang hendak dilaksanakan, dicadangkan agar ditambah Perenggan (c) pada Perkara 49(1) dengan memasukkan ketetapan bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong apabila ‘dia memberikan kepercayaan atau sokongan kepada pemimpin atau parti yang berlainan daripada partinya tanpa kebenaran parti yang dianggotainya’.

“Pada masa sama, penambahan sebab kekosongan kerusi ini dapat mengelakkan mana-mana wakil rakyat mengkhianati partinya dengan memberikan sokongan kepada parti lawan tanpa mengisytiharkan keluar parti,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan sedia berbincang untuk meminda Akta Anti Lompat Parti (Akta A1663) bagi menutup lompang yang wujud dalam akta berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengakui wujud kelompangan berkaitan akta berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya (Pakatan Harapan) pada 2022 pernah mencadangkan supaya mana-mana yang dipecat daripada parti supaya mengosongkan kerusi, namun tidak dipersetujui kerajaan ketika itu.

Justeru katanya, sekiranya pembangkang mahu akta berkenaan dipinda, maka kerajaan terbuka untuk berbincang.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, undang-undang yang cuba mengekang budaya lompat parti yang diperkenalkan pada 2022 sepatutnya sudah cukup untuk mengatasi masalah itu.

Katanya, ia terutamanya apabila dilengkapkan dengan pindaan perlembagaan parti seperti yang dilakukan oleh DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pindaan itu bertujuan memberikan tafsiran kepada Fasal (1)(a)(ii) yang menyebut frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik’. Dalam kes enam anggota Bersatu yang berpaling tadah, sepatutnya mereka dianggap hilang kerusi berdasarkan Perkara 49A dan peruntukan perlembagaan parti Bersatu.

“Namun, apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusan berbeza, maka timbul pula persoalan berkaitan penambahbaikan undang-undang bagi mengatasi kelompongan yang wujud.

“(Oleh itu), kita mengharapkan setiap pihak yang bertanggungjawab melaksanakan prinsip dan peraturan dalam perlembagaan agar menjalankan amanah dengan jujur sesuai dengan peruntukan dan tujuan perlembagaan.

“Jika tidak, pindaan perlembagaan mungkin diperlukan untuk memperincikan lagi peruntukan undang-undang itu agar tidak diselewangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Faisal Abdul Aziz berkata, sesi libat urus dan perbincangan lanjut yang turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diadakan untuk memastikan negara dapat menambah baik akta tersebut pada masa akan datang.

“Namun, perlu ada mekanisme untuk memberi hak demokratik kepada Ahli Parlimen untuk berbeza pandangan dengan parti dalam isu-isu tertentu yang tidak menjejaskan kestabilan politik negara.

“Perlu ditegaskan bahawa penggubalan Akta Anti Lompat Parti berserta pindaan Perlembagaan Persekutuan [Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022] adalah salah satu tuntutan Bersih yang didahului dengan Memorandum Persefahaman antara kerajaan dan Pembangkang pada 2021 yang menatijahkan sokongan 209 Ahli Parlimen ketika itu.

“Justeru, Bersih gesa semua pihak untuk menghormati peruntukan undang-undang berkaitan kawalan lompat parti ini kerana ia adalah hasrat semua pihak,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×