Mampu raih RM30,000 jual aiskrim dulang

Mampu raih RM30,000 jual aiskrim dulang

Afiqah Abdul Razak menunjukkan satu daripada set aiskrim dulang yang dijual di kedainya di Kampung Serkat, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Cetusan idea menjual aiskrim dulang bermula pada 1 Ogos tahun lalu meraih jualan kasar kira-kira RM30,000 sebulan bagi usahawan, Afiqah Abdul Razak.

Dia yang sebelum ini hanya menjual ais krim dalam mangkuk atau cawan kepada orang ramai yang datang ke rumahnya selain pengunjung yang menginap di D’ Desa Guesthouse kemudian memberanikan diri mencuba idea baharu.

Sebelum ini dia turut menjual aiskrim jenama Pikapi pada majlis-majlis perkahwinan dan keraian yang diuruskan oleh pekerja sambilan dengan pakej bermula dari RM200 hingga RM800.

“Berikutan kurangnya pendapatan yang diperoleh menerusi jualan seperti itu, saya bersama-sama ahli keluarga dan pekerja memperkenalkan aiskrim dulang bermula 1 Ogos tahun lalu.

“Tahun lalu juga Jambatan Sungai Pulai dibuka yang berjaya menarik lebih ramai pengunjung ke Tanjung Piai terutamanya ke Taman Negara Johor Tanjung Piai termasuk dari Johor Bahru dan Singapura,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Serkat, dekat sini.

Nyata pengenalan aiskrim dulang mendapat sambutan baik daripada orang ramai yang tertarik dengan idea berkenaan.

“Aiskrim dulang menawarkan tiga pakej, iaitu set gosip yang ditawarkan pada harga RM39.90, set healing (RM21.90) dan set parti (RM65.90).

“Pengunjung akan mencampurkan aiskrim mengikut cita rasa masing-masing sama ada menggunakan mangkuk atau kon dan bagi kanak-kanak, konsep itu tentu pengalaman yang menarik,” katanya sambil memberitahu aiskrim dulang mempunyai enam perisa, iaitu susu kurma, kapucino, vanila oreo, sour berries, mint chip dan coklat badam.

Afiqah yang dibantu lima pekerja mengakui ada masanya mereka tidak menang tangan melayan pengunjung yang kebanyakan datang berkeluarga selain kumpulan bermotosikal dan penunggang basikal.

Dia yang turut mengusahakan di D’ Desa Guesthouse menyifatkan peranan media sosial banyak membantunya menarik kehadiran para pelanggan.

“Susulan sambutan yang baik, saya sedang membina bangunan baharu memandangkan ketika ini hanya beroperasi di bawah khemah dengan jumlah kerusi serta meja yang terhad. InsyaAllah kafe aiskrim dulang akan siap pada penghujung tahun ini dan bersedia terima lebih ramai pengunjung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN