GUA MUSANG: Kerajaan menjangkakan lima pakej Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di daerah ini yang menelan kos RM1.59 bilion akan disiapkan mengikut jadual iaitu pada tahun 2027.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun ada yang mengalami kelewatan namun sebahagiannya mengikut jadual malah ada yang mendahului.
Menurutnya, projek itu melibatkan Seksyen 3D (Bulatan Gua Musang ke Mentara), Seksyen 3B dan 3C (KM 180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang), Seksyen 2C (Bukit Sejuk ke Bandar Baru Gua Musang), Seksyen 2B (Paloh 2 ke Bukit Sejuk) dan Seksyen 2A (Jambatan Sungai Lakit ke Paloh 2).
“Saya berharap agar LTU berjalan lancar dan pengguna boleh merasakan berapa pantasnya perjalanan. Jika sebelum ini memakan masa yang panjang, tetapi selepas siap perjalanan semakin singkat.
“Kita ingin mengelakkan kesesakan ketika hari perayaan dan hujung minggu yang panjang untuk memudahkan anak-anak Kelantan pulang. Ini usaha adalah satu lebuh raya tanpa tol di semenanjung selepas lebuh raya tanpa tol Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dan ini adalah usaha Kerajaan Persekutuan yang sangat bermanfaat untuk rakyat,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas mendengar taklimat di Pejabat Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang di Bandar Baru di sini, hari ini.
Ahmad memberitahu, apabila siap nanti, projek terbabit akan memberi manfaat kepada pengguna jalan atau perantau yang akan pulang ke kampung halaman di negeri ini.
Katanya, projek tersebut juga bakal memendek perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Lumpur yang dianggarkan hanya memakan masa hanya lebih tiga jam.-UTUSAN











