JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berkemungkinan menangguhkan rancangan untuk bekerja dari ibu negara baharu Indonesia, Nusantara bagi memastikan bekalan air minuman dan elektriknya berfungsi dengan baik.
Sebelum ini, Jokowi menzahirkan keyakinan untuk mula bekerja dari pejabat baharu di Kalimantan Timur, awal bulan ini.
Janji itu dilihat sebagai langkah mengukuhkan keyakinan dalam projek mega itu selepas peletakan jawatan Ketua Lembaga Capital Nusantara, Bambang Susantono dan Timbalannya, Dhony Rahajoe, Jun lalu.
Projek bernilai AS$32 bilion (RM150 bilion) itu bergelut untuk menarik pelabur dan mengalami kelewatan, dengan infrastruktur utama belum disiapkan beberapa minggu sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia, 17 Ogos depan.
Jokowi berkata, Kementerian Kerja Raya dan Perumahan yang menyelia projek itu memaklumkan infrastruktur asas belum siap.
“Air sudah sedia? Elektrik sudah sedia? Adakah tempat itu sudah siap? Jika semuanya sudah siap, kami akan pindah,” kata Jokowi dipetik akhbar Kompas.com.
Dekri Presiden untuk mengisytiharkan Nusantara secara rasmi, juga dikenali sebagai Ibukota Negara atau IKN akan bergantung kepada kemajuan projek itu dan boleh dikeluarkan oleh penggantinya, Prabowo Subianto, kata Jokowi.
Prabowo akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada Oktober ini, bersama anak lelaki Jokowi, Gibran Rakabuming Raka berkhidmat sebagai Naib Presiden.
“Dekri presiden dijangka sebelum atau selepas Oktober, bergantung pada keadaan di lapangan. Kita tidak mahu memaksa sesuatu yang belum siap, jangan paksa,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha wilayah Jakarta, Joko Agus Setyono berkata, dekri presiden berhubung pemindahan ibu kota dijangka dalam beberapa hari lagi atau selewatnya minggu depan.










