Jaga PKGK, MTCC di Lanchang sebagai aset pelancongan bertaraf dunia - Sultan Pahang - Utusan Malaysia

Jaga PKGK, MTCC di Lanchang sebagai aset pelancongan bertaraf dunia – Sultan Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (lima dari kanan) bersama adinda Raja Jordan, Putera Ali Al Hussein di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Lanchang, Temerloh, Pahang. - FOTO/SHAIH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang di sini perlu dijaga sebagai aset pelancongan bertaraf dunia.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, PKGK dan MTCC yang mempunyai objektif tersendiri untuk melestarikan alam sekitar dan penjagaan haiwan liar di negara ini.

Ekoran itu, baginda berharap dua pusat konservasi tersebut diberikan peruntukan khas bagi meningkatkan fasiliti dan kemudahan di situ sejajar lokasinya sebagai destinasi tarikan pelancong.

“Mudah-mudahan kerajaan dapat memberikan peruntukan supaya pengurusan PKGK dan MTCC dapat menyediakan kemudahan yang sesuai dan menepati objektif kedua-dua pusat berkenaan.

“Alhamdulillah, kedua-dua tempat perlu dijaga sebagai daya tarikan seluruh negeri malah ada cadangan tambahan haiwan seperti seladang, tapir dan sebagainya,” titah baginda kepada pemberita di PKGK di Kuala Gandah di sini hari ini.

Mengulas tentang PKGK, Al-Sultan Abdullah berpuas hati dengan cara pusat berkenaan memelihara dan memulihara 25 ekor gajah di situ dalam keadaan yang cukup baik.

“Malah saya dimaklumkan PKGK banyak pembaharuan yang mampu menarik 200,000 hingga 250,000 pengunjung setiap tahun,” titah baginda.

Titah Al-Sultan Abdullah, penubuhan MTCC Pahang di Lanchang antara usaha kerajaan negeri bagi melindungi populasi haiwan itu.

“MTCC merupakan satu-satunya pusat konservasi khas untuk Harimau Malaya di negara ini. Pusat itu mula beroperasi Februari tahun lalu dengan peranannya membantu meningkatkan pembiakan dan meliarkan harimau sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×