Sultan Pahang bangga pencapaian pendidikan dua maahad tahfiz Yayasan Pahang - Utusan Malaysia

Sultan Pahang bangga pencapaian pendidikan dua maahad tahfiz Yayasan Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang, di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga atas pencapaian dua institusi tahfiz di bawah Yayasan Pahang yang kini diiktiraf sebagai antara sekolah terbaik di Malaysia.

Baginda bertitah, kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) yang tersenarai dalam kelompok tiga sekolah terbaik negara dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 adalah bukti nyata kecemerlangan sistem pendidikan tahfiz negeri ini.

“Hasrat saya untuk melihat maahad tahfiz menjadi institusi pendidikan terulung di Malaysia telah menjadi kenyataan. Kejayaan ini membuktikan bahawa pendidikan tahfiz bukan sahaja melahirkan insan berakhlak, tetapi juga generasi yang cemerlang dalam akademik,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2026 di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 48 pelajar daripada MTNP dan MTTNP menerima anugerah kecemerlangan masing-masing.

Ia merangkumi Anugerah Kecemerlangan Akademik straight A SPM 2025, Anugerah Kecemerlangan Akademik Mumtaz Diploma, Anugerah Syahadah 30 Juzuk, Anugerah Pencapaian Kokurikulum Akademik Terbaik dan Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Hafazan bagi murid Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP) dan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP).

Al-Sultan Abdullah menegaskan, dalam era teknologi seperti kecerdasan buatan, automasi dan ekonomi digital, generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran global tanpa mengabaikan nilai adab dan akhlak.

Baginda yakin masa depan anak-anak tahfiz di Pahang begitu cerah, dengan potensi melangkaui bidang keagamaan semata-mata.

“Generasi huffaz hari ini berpeluang menjadi pakar dalam perubatan, kejuruteraan, teknologi dan kepimpinan negara. Dengan asas agama yang kukuh, mereka mampu tampil sebagai pemimpin masa hadapan yang berintegriti tinggi,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN