PETALING JAYA: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini bagi proses mendengar prosiding sebutan kes kanak-kanak autisme tersebut, pagi ini.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf tiba pada pukul 8.40 pagi diringi peguam mereka, Fahmi Abd. Moin.

Pasangan berusia 28 tahun itu turut ditemani beberapa ahli keluarga termasuk datuk dan nenek Zayn Rayyan.
Terdahulu, kira-kira 20 pengamal media berkumpul di pekarangan mahkamah sejak pukul 8 pagi bagi mengikuti perkembangan kes tersebut.
Turut kelihatan, datuk Zayn Rayyan, Zahari Mohd. Reba dan neneknya, Hasni Zakaria di luar mahkamah bersama beberapa individu dipercayai ahli keluarganya.
13 Jun lalu,, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemukan oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.- UTUSAN










