Dominasi pemimpin lama cetus kelesuan politik

Dominasi pemimpin lama cetus kelesuan politik

PENGUASAAN ‘kuda tua’ dalam kepemimpinan politik berikutan pengundi masih terikat dengan ketokohan, latar belakang serta pengaruh individu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dominasi pe­mimpin berumur yang masih menyelubungi kepimpinan parti politik di negara ini khususnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh membawa kepada kelesuan politik.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. P. Sivamurugan berpendapat, situasi sebegini menyebabkan golongan muda merasakan mereka seakan-akan tidak diberikan peluang dalam politik negara.

Malah, katanya, anak muda juga akan melihat jurang terlalu besar dalam nilai kepemimpinan berbanding usaha ke arah sistem pelapisan yang lebih baik.

“Jadi, setiap parti politik perlu ada perkaderan kepada kemahuan hari ini. Tapi tidak semestinya meminggirkan golongan lama, cuma bagaimana memastikan susunan terbaik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau ditanya sama ada pe­nguasaan pemimpin berumur dalam kepemimpinan politik sebagai satu petanda baik sedangkan negara-negara lain mempunyai Perdana Menteri seawal usia 30 tahun.

Menjelang pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Oktober ini, calon-calon peringkat tertinggi dilihat masih dikuasai pemimpin veteran.

Bukan sahaja Bersatu, malah UMNO, MIC, MCA dan Pas sendiri masih mengekalkan kepemimpinan tertinggi khususnya melibatkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berpandangan, penguasaan ‘kuda tua’ berikutan pengundi masih terikat dengan ketokohan, latar belakang serta pengaruh individu berbanding pengundi Eropah yang lebih melihat kepada apa perkara yang boleh dilakukan pemimpin.

“Di Sweden dan Finland, Perdana Menteri malah satu Kabinet berusia 30-an sebab di sana orang menilai politik sebagai satu ama­nah untuk memajukan negara. Jadi, mereka lebih memilih kepada orang muda sebab ada tenaga serta idea baharu.

“Budaya politik di Malaysia pula seperti satu bentuk persaingan. Politik dianggap medan untuk mendapat kuasa. Jadi, apabila dapat kuasa, maka dapat pengaruh dan ada sumber.

“Eropah tidak melihat politik sebagai satu sumber tapi satu amanah. Ahli politik di Eropah tidak kaya, malah hidup seperti biasa selepas bersara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×