Curi kabel, pecah rumah untuk beli dadah - Utusan Malaysia

Curi kabel, pecah rumah untuk beli dadah

HUSSIN Zamora menunjukkan barangan yang dirampas daripada geng curi kabel dan pecah rumah dalam sidang akhbar di IPD Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Polis daerah ini berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang mencuri kabel dan memecah rumah untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Sungai Rinting, Masai, Khamis lalu, pihak polis menahan empat lelaki termasuk seorang yang dikehendaki serta seorang wanita yang berusia antara 30 hingga 40 tahun itu, 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, dengan tertangkap ahli kumpulan berkenaan, pihaknya berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah dan curi kabel di sekitar daerah ini melihatkan kerugian berjumlah RM147,000.

“Bertindak atas maklumat, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kota Tinggi telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah dan menahan lima suspek serta merampas barang kes yang disyaki hasil kegiatan curi kabel dan pecah rumah di sekitar daerah ini. Polis percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah dan curi kabel serta orang dikehendaki kes narkotik di daerah Seri Alam.

“Kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah serta positif dadah dalam saringan air kencing dilakukan. Salah seorang suspek juga mempunyai tatu pada lengan yang disyaki merupakan ahli salah sebuah kumpulan kongsi gelap,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kota Tinggi, hari ini.

Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai sudah enam bulan aktif melakukan jenayah tersebut dengan menyasarkan rumah teres di daerah ini.

Antara barangan yang dicuri seperti mesin rumput, mesin pemotong, kabel dan peralatan yang bernilai serta boleh dijual semula.

“Modus operandi mereka adalah menyasarkan rumah yang kosong, melakukan aktiviti pada waktu malam ketika mangsa sedang tidur dan barangan yang dicuri kebanyakan diletak di bahagian luar rumah mangsa seperti stor.

“Siasatan awal mendapati mereka mencuri dan menjual semula bagi mendapatkan hasil untuk membeli dadah. Kita yakin dengan tumpasnya kumpulan ini akan ada lagi beberapa laporan akan buat,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 4 Julai lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×