PETALING JAYA: Pelakon teater disaran untuk mengikuti kursus kemahiran beraksi di hadapan kamera sekiranyamereka mahu terjun ke dalam bidang seni.
Menurut Presiden Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin, walaupun mempunyai asas lakonan dan dikenali dalam lapangan teater, mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu baharu memandangkan berlakon untuk drama dan filem memerlukan tenik berbeza.
“Saya tidak fikir isu bayaran rendah atau tinggi ini berdasarkan sama ada pelakon itu selebriti atau tidak. Sebaliknya ia dinilai melalui pengalaman serta kemahiran. Walaupun seseorang itu terlibat dengan teater, mereka masih memerlukan latihan khusus sekiranya mahu beraksi dalam drama atau filem.
“Mungkin penerbit atau pengarah memberi pelakon teater bayaran rendah kerana ketiadaan pengalaman berlakon di televisyen (TV). Seorang pelakon teater, tidak semestinya boleh berlakon untuk TV kerana formatnya berbeza.
“Teater memerlukan kelantangan lontaran dialog dan emosi berlebihan kerana dipersembahkan di hadapan khalayak secara langsung. Perkara itu berbeza dengan berlakon di hadapan kamera,” katanya.
Sakrani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan wujud pilih kasih dalam kalangan penggiat seni apabila golongan pelakon teater dibayar rendah kerana mereka bukan bergelar selebriti.
Tambah Sakrani lagi, sekiranya pelakon teater berjaya menguasai kemahiran beraksi di hadapan kamera, mereka wajar dibayar setara bahkan lebih, melihat kepada ilmu dan pengalaman yang diperolehinya.
“Tidak mustahil untuk pelakon teater mahir berlakon drama dan filem.
“Jika kita tengok di era 70-an, banyak pelakon popular merupakan pelakon teater pada masa yang sama seperti Datuk Rahim Razali, Namron, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Ogy Ahmad Daud.
“Seorang selebriti juga tidak akan bertahan lama di dalam industri jika tiada kemahiran berlakon,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain tu, Sakrani turut menjelaskan Malaysia tidak mempunyai sebarang daftar tarif atau ‘rate card’ yang boleh dikenakan untuk membayar upah seorang anak seni.
“Kita tiada sebarang sistem atau format yang menentukan kadar bayaran pelakon mengikut piawaian tertentu.
“Sekarang kita mengamalkan dasar terbuka dan terpulang kepada budi bicara penerbit,” katanya.
Terdahulu, menerusi sebuah hantaran di media sosial, pelakon dan penggiat teater, Farah Ahmad mendedahkan terdapat suara sumbang yang mengatakan pelakon teater tidak layak menerima bayaran tinggi kerana mereka bukan golongan selebriti.
Menurut Farah, pandangan itu tidak wajar memandangkan penggiat teater telah mempelajari seni lakonan selama bertahun-tahun di universiti sebelum bekerja di dalam industri hiburan.










