HULU LANGAT: Pemain bola sepak lagenda negara, Azman Adnan memohon para peminat untuk terus mendoakan kesihatannya selepas dimasukkan ke hospital akibat pengsan di rumahnya beberapa bulan lalu.
Menurut Azman, akibat daripada insiden tersebut beliau turut mengalami sakit tulang di kaki kanannya yang menyebabkan ia menjadi semakin bengkok.
“Sakit yang saya alami bermula apabila saya jatuh pengsan dan dikejarkan ke hospital sebelum hari raya tahun ini. Pelbagai ujian telah dilakukan dan berkemungkinan berpunca daripada sakit urat saraf.
“Kejadian berlaku semasa saya tengah menunggu masuk waktu untuk bersahur, nasib baik ada kawan-kawan sempat menyambut saya daripada jatuh begitu sahaja.Kalau tidak kepala mungkin cedera,” katanya ketika lawatan wakil Kelab Penyokong Selangor Empire of Port Klang sempena sambutan Maal Hijrah di rumahnya, baru-baru ini.
Jelas bekas pemain kebangsaan, Selangor dan Negeri Sembilan itu, semasa kejadian tersebut beliau meminta teman-teman dan keluarga tidak menguar-uarkannya kerana enggan merisaukan sesiapa terutama peminat.
“Kini kesihatan saya bertambah baik selepas menjalani aktiviti mengayuh basikal empat pusingan di sekitar rumah. Buat masa ini saya juga fokus menjaga stamina dan membuat senaman bagi membolehkan saya turut serta sebagai pemain pada Piala Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka tidak lama lagi.
“Dalam pemulihan ini saya bukan bermain beria-ia tetapi demi memeriahkan kejohanan tersebut bersama rakan-rakan seperjuangan,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada beliau baru-baru ini yang disampaikan oleh setiausaha politiknya, Farhan Fauzi.
Menurut perkongsian di laman Facebook, Anwar memaklumkan bahawa bekas penyerang sensasi Selangor kini menderita sakit tulang kaki.
Katanya, Azman memerlukan rawatan fisioterapi berkala selain beberapa masalah kesihatan lain yang menyukarkannya melakukan kerja-kerja berat dan terputus sumber pendapatan. – UTUSAN










