ALOR SETAR: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdepan 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana gagal melaporkan kesalahan pemberian rasuah melibatkan wang berjumlah RM42,100 antara 2016 hingga 2019.
Tertuduh, Mohamad Sobri Osman, 39, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas sebagai pegawai pemeriksa kereta motor gred AB29 di JPJ Kuala Ketil, didakwa telah diberikan suapan oleh Pengurus Pro-Star Transport Sdn. Bhd., Saw Chee Leong, 38, melalui akaun Maybank milik tertuduh.
Pemberian rasuah itu dilakukan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori milik syarikat itu yang mungkin akan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemberian rasuah itu didakwa dilakukan antara 10 Mac 2016 hingga 8 Oktober 2019 membabitkan transaksi antara RM1,000 dan RM1,100. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Alor Setar.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM40,000 bagi semua pertuduhan, namun peguam, Mohamed Firdaus M. Farouk memohon amaun itu dikurangkan dengan alasan bapa kepada dua anak itu penanggung utama keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM27,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Ogos ini.










