SEREMBAN: Seramai 1,282 daripada 1,296 calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 di Negeri Sembilan telah lulus penuh dengan mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.
Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan iaitu 98.92 peratus berbanding 98.82 peratus pada tahun 2022 manakala 14 calon iaitu 1.08 peratus telah memperoleh keputusan lulus sebahagian.
Menurut Roslan, daripada jumlah tersebut seramai 38 calon lulus lima prinsipal (2.93 peratus), 915 calon lulus empat prinsipal (70.6 peratus), 197 lulus tiga prinsipal (15.2 peratus), 82 lulus dua prinsipal (6.48 peratus) dan 48 lulus satu prinsipal (3.7 peratus).
“Bagi tahun 2023, seramai 45 orang calon STPM di Negeri Sembilan telah memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 43 orang pada tahun lalu.
“Mereka ini terdiri daripada 42 calon Sains Sosial, seorang calon Sains dan dua calon (Agama dan Tahfiz),” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM di sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Jelas Roslan, Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz masih mengekalkan pencapaiannya dalam menghasilkan jumlah calon cemerlang PNGK 4.00 yang paling ramai iaitu 13 orang diikuti SMK Mantin enam orang dan SMK Tuanku Muhammad juga enam orang.
“Di sini jelas terbukti kita sekali lagi berjaya meningkatkan kuantiti dan kualiti calon cemerlang PNGK 4.00 bagi Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, Kuala Pilah telah mengungguli carta dengan pencapaian PNGK daerah sebanyak 3.13 berbanding 2.83 pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 0.3 peratus.
“Daerah Tampin juga menunjukkan peningkatan yang baik iaitu daripada 2.82 pada 2022 kepada 2.95 pada tahun ini dengan peningkatan 0.07 peratus,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak lapan mata pelajaran menunjukkan peningkatan yang sangat memberansangkan bagi STPM 2023 berdasarkan pencapaian perbezaan peratus lulus penuh bagi tahun 2023 dan 2022 iaitu Kesusasteraan Melayu, Tahfiz Al-Quran, Biologi, Informasi dan Teknologi Komunikasi, Geografi, Bahasa Arab, Perakaunan dan Ekonomi.-UTUSAN.










