KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 11 maut akibat hujan lebat yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat dalam tempoh 36 jam di Nepal.
Jurucakap polis, Dan Bahadur Karki berkata, lapan mangsa dilaporkan hilang, dikhuatiri hanyut banjir atau tertimbus tanah runtuh, manakala 12 yang lain cedera dan dirawat di hospital.
“Pasukan penyelamat berusaha membersihkan tanah runtuh dan membuka laluan di jalan raya utama,” katanya.
Di tenggara Nepal, sungai Koshi, yang menyebabkan banjir di negeri Bihar, timur India hampir setiap tahun, direkodkan berada pada paras bahaya.
“Aliran Koshi semakin meningkat dan meminta penduduk untuk terus berwaspada terhadap kemungkinan banjir,” kata Pegawai Kanan daerah Sunsari, Bed Raj Phuyal.
Beliau berkata, setakat pukul 9 pagi (waktu tempatan), aliran air di sungai Koshi meningkat 10,449 meter padu setiap saat, lebih dua kali ganda daripada kebiasaan, iaitu 4,248 meter padu setiap saat.
Menurut pihak berkuasa, aliran sungai Narayani, Rapti dan Mahakali di bahagian barat juga meningkat.
Di Kathmandu, beberapa sungai mula melimpah ke tebing dan menenggelamkan jalan raya serta banyak rumah.
Sejak pertengahan Jun, sekurang-kurangnya 50 maut di seluruh Nepal dalam kejadian tanah runtuh dan banjir, apabila hujan monsun tahunan bermula.- REUTERS









