KUANTAN: Sebanyak 27 kes orang hilang dilaporkan di seluruh negeri ini setakat bulan ini dengan 17 daripadanya berjaya diselesaikan manakala 10 lagi belum ditemukan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, 10 kes belum selesai itu membabitkan empat di Bera, tiga di Lipis dan masing-masing satu di Kuantan, Pekan dan Jerantut.
“Untuk tiga kes di Lipis itu, ia termasuklah kes orang hilang membabitkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah mental, Rosdan Mat, 52, yang dilaporkan hilang di Kampung Redan, Mela, pada 28 Jun lalu.
“Lelaki itu masih belum ditemukan dan kehilangannya sudah melebihi 14 hari. Kita telah mengecilkan kawasan mencari dan menyelamat (SAR). Setakat ini tiada petunjuk baharu diperolehi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan di sini hari ini.
Pada majlis itu, enam pegawai kanan polis naik pangkat daripada Asisten Superintenden (ASP) kepada Deputi Superitenden (DSP), manakala seramai 494 penerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang terdiri daripada 43 pegawai kanan polis, 398 pegawai rendah polis dan 53 pegawai awam.
Mengulas penemuan remaja perempuan, Nur Aina Faqihah Sharizan, 17, di Bentong, dekat sini yang dilaporkan hilang pada 15 Julai lalu, Yahaya berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kehilangannya.
Katanya, hasil pemeriksaan kesihatan mendapati remaja terbabit berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Remaja perempuan terbabit ditemukan pada 22 Julai hasil makluman orang awam yang menemukannya berkeliaran tanpa hala tuju di sebuah stesen bas di Triang, Bera.
“Kita sudah buat siasatan awal dan melakukan pemeriksaan dan hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan tiada perkara yang kita tidak ingini berlaku.
“Remaja itu sudah pun diserahkan kepada ibu bapanya namun siasatan daripada segi rakaman keterangan mereka yang terlibat masih dilakukan,” ujarnya memberitahu remaja terbabit difahamkan sebelum ini pernah dua kali melarikan diri.
Yahaya dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya segera melaporkan kejadian orang hilang kepada pihak polis.
“Kita juga memohon kepada ahli keluarga orang hilang ini untuk memberikan kerjasama yang baik bagi memudahkan pihak polis menjalankan siasatan.
“Ini kerana berdasarkan siasatan, kebanyakkan yang hilang ini biasanya melarikan diri ke rumah individu dikenali. Jadi mohon bagi kerjasama apa juga maklumat yang diperoleh untuk salurkan kepada kita bagi memudahkan kita menjejaki orang hilang ini,” katanya. – UTUSAN










