Umar puas hati peroleh catatan masa terbaik musim ini, 46.27s di Terbuka Malaysia - Utusan Malaysia

Umar puas hati peroleh catatan masa terbaik musim ini, 46.27s di Terbuka Malaysia

UMAR Osman menepati sasaran apabila muncul juara acara 400 meter (m) Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m), Umar Osman berpuas hati apabila memperoleh catatan masa terbaik musim ini, 46.27 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 di Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Ia sekali gus menyaksikan atlet kelahiran Johor tersebut menepati ramalan apabila muncul juara acara tersebut.

Ketika ditemui pemberita, Umar berkata, selepas tujuh bulan mengalami kecederaan, dia kembali mendapat rentaknya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.

“Untuk kejohanan ini, pada saingan separuh akhir saya dapat kembali rentak saya, 46.83s dan final 46.27s. Untuk kejohanan kali ini, saya berpuas hati kerana saya telah melepasi sasaran peribadi saya.

“Selepas ini saya akan ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Surabaya, Indonesia, saya akan cuba yang terbaik, tapi lihat keadaan badan saya, jika tidak mengizinkan saya hanya sasar pingat emas,” katanya ketika ditemui di Stadium Darul Makmur di sini.

Umar berkata, keputusan Olahraga Terbuka Malaysia meningkatkan lagi keyakinannya untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Auburn, di Amerika Syarikat (AS).

“Terbuka Malaysia adalah kejohanan yang ketiga untuk saya tahun ini, memang saya sasarkan catatan masa terbaik untuk beri keyakinan kepada Universiti Auburn untuk lebih percaya saya,” katanya.

Menurutnya, dia sedang mempersiapkan diri bagi menduduki ‘Test of English as a Foreign Language’ (TOEFL) yang dijangka diambilnya pada Julai ini selepas AUG di Surabaya.

Ujian berkenaan perlu diambil pemilik rekod kebangsaan 400m kebangsaan itu bagi menguruskan segera urusannya melanjutkan pengajian ke Universiti Auburn.

Untuk rekod, catatan terbaiknya dalam acara 400m adalah 46.09s yang juga rekod kebangsaan dilakukan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China pada Ogos tahun lalu, sementara catatan terbaik musim ini pula adalah 47.35s. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×