JOHOR BAHRU: Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang didapati meracun empat ekor gajah sehingga mati di kebun buah-buahan di Felda Kahang Timur, Kluang, baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Laporan awal mendapati gajah-gajah itu mati mungkin disebabkan kegagalan pernafasan dan peredaran darah akibat pendarahan yang membawa kepada pengumpulan darah dalam pelbagai organ.
“Sampel telah diambil daripada bangkai gajah untuk kajian lanjut. Ada kemungkinan gajah-gajah itu mati akibat diracun,” katanya selepas merasmikan Program Johor Bersih di Sungai Skudai di Kampung Bakar Batu, Perling, di sini hari ini.
Beliau berharap masyarakat dapat memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Jika bukti mencukupi dan menunjukkan memang ada pihak bertanggungjawab terhadap kematian gajah berkenaan, ada tindakan undang-undang boleh kita ambil,” katanya.
Pada 1 Jun lalu, media melaporkan empat ekor gajah melibatkan seekor ibu dan tiga anaknya ditemukan maut di dalam kebun buah-buahan di Kluang. – UTUSAN










