SEREMBAN: Mengakui berlakunya isu kekurangan jururawat terlatih ketika ini, sebuah hospital swasta di daerah ini memperuntukkan sehingga RM13 juta penajaan program penyediaan jururawat terlatih bagi memenuhi keperluan hospital itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar CMH, Henderic Koo berkata, hospital itu tidak terkecuali berhadapan dengan isu berkenaan malah kadar kekurangan bilangan jururawat terlatih di hospital itu dalam tempoh tiga tahun sebelum ini juga agak tinggi.
Sehubungan itu, katanya, hospital tersebut mengambil langkah menaja program penyediaan jururawat terlatih yang dijalankan secara berperingkat sehingga tahun 2027.
“Pada masa ini kami mempunyai seramai 180 jururawat tetap, bagi mengatasi kadar kekurangan tersebut ia memerlukan langkah lebih proaktif dan komprehensif diambil.
“Menerusi pelaksanaan program tajaan kepada pelajar kejururawatan bagi kursus Diploma Kejururawatan ia diyakini sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan khidmat jururawat di hospital ini,”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Unit Mesin Mamografi Teknologi 3D di Hospital Pakar CMH, di sini, hari ini.
Menurut Henderic, pihaknya ketika ini sedang giat mendapatkan pelajar kejururawatan menerusi inisiatif penajaan itu yang sudah tentu menyediakan jaminan peluang pekerjaan kepada penerimanya
“Pada masa ini, kami sudah pun mempunyai lima graduan yang akan berkhidmat pada bulan depan dan pengambilan empat orang jururawat bagi mengisi kekosongan jawatan yang ada.
“Sudah pastinya, kami akan terus komited untuk melatih lebih ramai warganegara menerusi program penajaan jururawat tanpa bergantung kepada jururawat dari luar negara,” katanya lagi.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 220 hospital swasta di seluruh negara terus berdepan masalah kekurangan jururawat yang boleh menjejaskan operasi mereka dan industri pelancongan kesihatan di negara ini.–UTUSAN.










