KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandung perempuan mereka sehingga menyebabkan kematian, Disember tahun lalu.
Suri rumah, Fatin Afrina Abdullah, 26, dan pemandu e-hailing, Muhamad Fuad Jamaluddin, 29, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.
Sebelum ini kedua-duanya yang ditahan dipenjara sejak Disember 2023, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada pertuduhan membunuh kanak-kanak itu.
Pada prosiding hari ini, Fatin Afrina turut membawa anak perempuan mereka berusia lima bulan ke mahkamah selepas bersalin dalam penjara.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak perempuan bernama Eriqa Sophia Muhamad Fuad yang ketika kejadian berusia enam tahun, didakwa menganiaya dan mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah flat di Taman Mulia, Cheras, di sini antara April 2023 dan 1 Disember 2023.
Oleh itu mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Tamara Anthony yang mewakili kedua-dua tertuduh pula memohon jaminan dikurangkan kerana kedua-duanya yang sebelum ini tidak dibenarkan ikat jamin kerana pertuduhan membunuh, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada tuduhan itu.
“Kedua-dua anak guam sudah direman sejak Disember tahun lalu manakala dua lagi anak yang masih kecil dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Tertuduh pertama (Fatin Afrina) bersalin dalam penjara dan mohon mahkamah mengambil kira kes sama seperti di Petaling Jaya iaitu Zayn Rayyan apabila ibu bapa mereka mendapat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Azrol kemudian bertanyakan di mana mangsa berada ketika ini dan Siti Nursyuhada mengesahkan kanak-kanak perempuan itu sudah meninggal dunia pada 2 Disember tahun lalu.
Azrol kemudian membenarkan ikat jamin masing-masing RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 15 Ogos ini.
Polis sebelum ini menahan ibu bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang meninggal dunia di Hospital Tunku Azizah dipercayai akibat didera dan diabaikan.
Mangsa berusia enam tahun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah, di sini dipercayai akibat didera dan diabaikan oleh penjaganya di sebuah flat perumahan di Bandar Tun Razak.
Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu menghadapi beberapa masalah kesihatan berikutan dilahirkan pramatang dan meninggal dunia disebabkan kekurangan nutrisi.









