KLUANG: Menunaikan solat sunat hajat setiap kali selepas solat fardhu selain mengulang kaji pelajaran pada waktu subuh menjadi rahsia kejayaan seorang pelajar Sekolah Integriti yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Pelajar yang mahu dikenali sebagai Aiman, 20, berkata, turut membolehkannya berjaya dengan keputusan 8A adalah memberikan sepenuhnya tumpuan ketika sesi pembelajaran selain restu ibu dan ayah walaupun tinggal berjauhan.
“Saya mengambil peperiksaan ini kerana ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan seperti saya ini juga mampu mencipta kejayaan walaupun terkurung dalam tembok besi.
“Peluang menempa kejayaan hakikatnya boleh dicapai walaupun di mana kita berada, namun apa yang penting adalah kemahuan pada diri sendiri selain mengubah kesilapan hidup agar tidak berulang untuk kali kedua,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di Penjara Kluang, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Aiman yang kini berada dalam tahanan di Sekolah Integriti Marang turut dinobatkan sebagai Pelajar SPM Terbaik Sekolah Integriti seluruh negara mengatasi 74 calon dari 10 Sekolah Integriti dan Henry Gurney bagi tahun 2023.
Dalam pada itu, seorang pelajar Sekolah Intergriti Kluang yang hanya mahu dikenali sebagai Ash, 21, berkata, percubaan kali ketiga dalam peperiksaan SPM akhirnya membuahkan hasil apabila turut memperoleh keputusan 8A.
Keputusan itu jauh berbeza ketika menduduki SPM kali pertama pada waktu persekolahan yang tidak memperoleh sebarang keputusan A dan hanya memperoleh 5A dalam peperiksaan ulangan pada 2022.
“Insya-Allah selepas menamatkan tempoh hukuman lapan tahun dalam tirai besi ini saya akan keluar bersama satu kejayaan cemerlang dengan ijazah dan menjadi pensyarah sambilan menerusi pengajian bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekarang ini,” katanya. – UTUSAN









